Mahkamah benarkan permohonan tangguh perbicaraan Bung Moktar, isteri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menangguhkan perbicaraan melibatkan pertuduhan rasuah RM2.8 juta berhubung pelaburan dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Penangguhan itu adalah sementara menunggu semakan berkenaan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan Bung Moktar, 64 dan Zizie, 44, yang didakwa bersubahat dengan suaminya untuk membela diri atas tiga pertuduhan tersebut, didengar dan diputuskan.

Advertisement

Hakim Datuk Collin Sequerah membenarkan permohonan penangguhan selepas peguam M Athimulan dan Datuk K Kumaraendran yang mewakili pasangan itu memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis usul untuk menyemak semula dan mengetepikan keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Sesyen pada 2 Sept lepas.

“Zizie telah memfailkan permohonan untuk semakan keputusan pada Isnin lalu dan hari ini ditetapkan untuk sebutan di hadapan Yang Arif Datuk Collin manakala Bung Moktar memfailkan permohonan yang sama dan Isnin (26 Sept) ini ditetapkan untuk sebutan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abd Hamid.

Bagaimanapun, pihak kami akan membuat permohonan rasmi bagi menyatukan kedua-dua semakan untuk didengar di hadapan seorang hakim sahaja,” kata Athimulan.

Sehubungan itu, Athimulan berkata pihaknya memohon agar perbicaraan di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sehingga semakan di Mahkamah Tinggi diputuskan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah berkata pihaknya akan memfailkan bantahan terhadap semakan itu selepas perintah untuk penyatuan semakan itu diperoleh daripada mahkamah, namun tidak membantah untuk penangguhan perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Bung Moktar dan Zizie Izette selaku pemohon memfailkan permohonan semakan secara berasingan Isnin lepas, antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil dan memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah dan bersubahat.

Dalam permohonan itu, kedua-duanya memohon perintah Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan yang disampaikan Mahkamah Sesyen.

Kedua-dua pemohon berkata hakim yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Hakim Rozina Ayob menetapkan perbicaraan bela diri ditetapkan pada satu tarikh lain yang akan dijadualkan kelak dan menetapkan Isnin ini untuk sebutan kes bagi pihak-pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan permohonan semakan.

Hari ini, Bung Moktar dan Zizie Izette sepatutnya memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoal mereka semasa pemeriksaan balas.

Pada 2 Sept lalu, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA