Keutamaan Kabinet hadapi banjir berbanding PRU15

- Advertisement -

Oleh ASLANI M | Foto RIZAL TAHIR

KUALA NERUS: Menteri Alam Sekitar dan Air menjelaskan kabinet pada Rabu lepas ada membincangkan mengenai cadangan pembubaran parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, keutamaan yang dilihat kabinet sekarang persiapan menghadapi banjir pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Katanya, banyak aset milik kerajaan termasuk pasukan keselamatan akan dikerah untuk membantu rakyat sekiranya berlaku banjir pada akhir tahun ini.

- Advertisement -

“Itu keutamaan yang diberi perhatian pada mesyuarat kabinet memandangkan anggota keselamatan diberi peranan besar bagi menjaga keselamatan rakyat.

“Dan mereka juga terpaksa bertugas kalau PRU15 diadakan pada musim banjir. Ia boleh merumitkan lagi keadaan,” katanya ketika merasmikan Pra Himpunan Teguh Pertahan di perkarangan Kompleks Sukan Terengganu di sini malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Bersatu Terengganu Dato’ Razali Idris dan pimpinan Perikatan Nasional (PN) Terengganu.

Baru-baru ini Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor menegaskan Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir apabila diadakan pada musim tengkujuh.

Kenyataan itu menimbulkan kecaman pelbagai pihak, yang digambarkan Umno lebih mementingkan politik daripada keselamatan dan keperluan rakyat di musim tengkujuh.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, PAS dan PN tetap bersedia bagi menghadapi kemungkinan PRU pada musim tengkujuh.

“Jentera PAS terutamanya sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU pada bila-bila masa. Malah pelancaran jentera PAS peringkat pusat telah diadakan pada awal bulan ini di Alor Setar.

“Begitu juga jentera pilihan raya PN sudah bersiap untuk turun padang sekiranya PRU diadakan,” ujarnya.

Namun kata beliau pilihan utama kerajaan sekarang keselamatan rakyat apabila berlaku banjir kerana ia boleh memberi kesan lebih besar.

Menurutnya juga menjelang pilihan raya diadakan gelombang fitnah melalui media sosial dijangka lebih hebat lagi berlaku.

Oleh itu beliau meminta ahli-ahli dan penyokong PAS serta PN perlu menapis setiap berita yang diterima bagi memastikan kesahihannya. – HARAKAHDAILY 23/9/2022

- Advertisement -