Kedah siap siaga hadapi banjir musim tengkujuh

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

SUNGAI PETANI: Kerajaan negeri Kedah kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir pada musim tengkujuh yang dijangka November ini.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri akan mengendalikan bilik-bilik gerakan dan membuat perbincangan bersama para pegawai daerah seluruh negeri.

- Advertisement -

“Pejabat SUK Negeri, di bawah Dato’ Norizan Khazali akan mengendali bilik-bilik gerakan dan beliau akan membuat pemantauan bersama para pegawai daerah seluruh Kedah,” jelasnya pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival Sejahtera Prihatin Negara 2022, di Dataran Amanjaya Mall, di sini, hari ini. 

Katanya lagi, mesyuarat bencana banjir peringkat negeri akan diadakan pada minggu hadapan  dan akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri. 

“Kita ambil cakna berkenaan banjir ini kerana ia berlaku setiap tahun dan Pejabat SUK negeri juga bersedia sepenuhnya berdasar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2022

- Advertisement -