Kematian Mahsa Amini perlu disiasat – Presiden Iran

Mahsa Amini meninggal dunia pada Jumaat, 16 Sept 2022 ketika berada dalam tahanan polis moral Iran. (FOTO: Harperbazaar.com)
- Advertisement -

Susunan: YUSMAN AWANG

- Advertisement -

NEW YORK: Presiden Iran, Ebrahim Raisi mengumumkan bahawa kematian seorang gadis berusia 22 tahun, Mahsa Amini ketika berada dalam tahanan polis mesti disiasat selepas insiden itu mencetuskan bantahan meluas orang ramai.

Bercakap dalam lawatan ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, Raisi bagaimanapun menuduh Barat hipokrit kerana menimbulkan kebimbangan mengenai kematian Mahsa Amini, lapor BBC.

Amini meninggal dunia beberapa jam selepas polis moral menangkapnya kerana didakwa melanggar peraturan bertudung.

Sekurang-kurangnya 17 orang maut dalam rusuhan terburuk di Iran itu, yang tercetus susulan kematian Amini dari bandar Saqez yang meninggal dunia di hospital di Tehran pada Jumaat (16 Sept) selepas tiga hari koma ketika berada dalam tahanan polis moral Iran.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi ketika menghadiri Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 23 Sept 2022. (FOTO: BBC)

Raisi mengulangi kesimpulan koroner bahawa wanita muda itu tidak dipukul. Polis Iran dalam kenyataannya sebelum berkata, Amini mengalami ‘kegagalan jantung mengejut’.

Penunjuk perasaan menolak pernyataan itu, menunjuk kepada laporan bahawa pegawai memukul kepala Amini dengan baton dan menghantukkan kepalanya pada salah satu kenderaan mereka.

Sementara itu, Raisi memberi amaran kepada penunjuk perasaan bahawa ‘tindakan huru-hara’ tidak boleh diterima.

Beliau menuduh negara Barat bias, dengan menyamakan kes kematian Amini dengan pembunuhan oleh polis terhadap orang awam di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Setiap hari di negara yang berbeza, termasuk Amerika Syarikat, kita melihat lelaki dan wanita mati dalam pertemuan polis, tetapi tidak ada sensitiviti mengenai punca dan menangani keganasan ini,” ujarnya.

Kenyataan Raisi kepada Barat itu adalah beberapa jam selepas AS mengumumkan sekatan dikenakan ke atas polis moral Iran.

Terdahulu, Jabatan perbendaharaan AS berkata bahawa sekatan itu adalah susulan penderaan wanita Iran dan pencabulan hak penunjuk perasaan.

BBC turut melaporkan bahawa pengawal Revolusi Iran yang mempunyai hubungan rapat dengan Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, menggesa badan kehakiman untuk mendakwa ‘mereka yang menyebarkan berita palsu dan khabar angin’ sebagai sebahagian daripada usaha nyata untuk menghentikan momentum protes orang awam di jalanan.

Protes jalanan dilaporkan BBC Parsi telah merebak ke kira-kira 80 bandar dan pekan di seluruh Iran.

Dalam temu bual dengan BBC Parsi, Amjab, bapa Amini berkata dia tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk melihat mayatnya selepas ia dibungkus untuk pengebumian, sedangkan hanya muka dan kakinya yang kelihatan.

“Terdapat kesan lebam di kakinya,” katanya, sambil menambah bahawa dia telah meminta doktor untuk memeriksa mereka tetapi tidak pernah mendengarnya.

Amjad juga menolak dakwaan daripada menteri dalam negeri dan pengarah perubatan forensik Tehran bahawa anak perempuannya mempunyai sebarang masalah kesihatan. – HARAKAHDAILY 23/9/2022

- Advertisement -