Wartawan siar gambar Mahsa Amini ditahan polis Iran

Wartawan akhbar Shargh, Niloufar Hamedi kini berada dalam tahanan pasukan keselamatan Iran sejak semalam, Khamis, 22 Sept 2022. (FOTO: tco/Twitter)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

- Advertisement -

TEHRAN: Seorang wartawan yang menyiarkan gambar menyayat hati saudara-mara Mahsa Amini, wanita muda yang meninggal dunia selepas ditangkap oleh polis moral di Tehran, telah ditahan oleh pasukan keselamatan Iran.

Mohammed Ali Kamfirouzi, peguam yang mewakili wartawan wanita akhbar Shargh dikenali sebagai Niloufar Hamedi itu berkata, anak guamnya itu ditangkap pada pagi Khamis (22 Sept), lapor The New Arab.

“Kediaman dan barang-barang Niloufar telah dirampas,” katanya.

Gerombolan penunjuk perasaan di Tehran, Iran pada 21 Sept 2022. (FOTO: AFP)

Laporan penahanan Hamedi berikutan tindakan keras oleh pasukan keselamatan Iran di seluruh negara terhadap penunjuk perasaan yang marah dengan kematian Amini pada Jumaat (16 Sept) lalu.

Amini, wanita Kurdish berusia 22 tahun itu ditahan polis di Tehran minggu lalu kerana didakwa memakai tudung dengan cara yang ‘tidak wajar’, namun dia mengalami koma dalam tahanan, sebelum meninggal dunia di sebuah hospital di ibu negara Iran, didakwa selepas dipukul oleh polis.

Hamedi menyiarkan ke Twitter imej bapa dan nenek Amini ketika mereka berpelukan di hospital, lokasi Amini meninggal dunia, dengan imej berkenaan dikongsi secara meluas di media sosial.

Wartawan foto terkenal Iran, Yalda Moaiery juga kini berada dalam tahanan pasukan keselamatan negara itu selepas ditangkap ketika membuat liputan sekitar protes jalanan orang awam di Tehran pada 20 Sept 2022 yang menunjuk perasaan susulan kematian Mahsa Amini. (FOTO: Wikimedia Commons)

“Sekurang-kurangnya 31 orang awam telah terbunuh dalam tindakan keras terhadap protes itu,” dakwa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi yang berpangkalan di Norway pada Khamis (22 Sept).

Terdahulu, Jawatankuasa Melindungi Wartawan pada Selasa (20 Sept) mendakwa wartawan foto, Yalda Moaiery telah ditangkap oleh pasukan keselamatan Iran pada Selasa (20 Sept) semasa membuat liputan protes berkenaan. – HARAKAHDAILY 23/9/2022

- Advertisement -