Filem Mat Kilau popular di Netflix negara teluk, Israel

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Walaupun mendapat kritikan negatif terutama di Malaysia sebaik ia mula ditayangkan melalui syarikat perkhidmatan penstriman hiburan Amerika Syarikat, Netflix, filem terlaris dalam sejarah industri perfileman Malaysia, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan bukan sahaja menjadi filem nombor satu di Netflix Malaysia, tetapi juga meraih populariti di Netflix Israel, negara teluk dan global.

Advertisement

Filem yang dilaporkan telah dibeli oleh Netflix daripada penerbitnya pada harga RM7 juta itu dan mula ditayangkan ke seluruh dunia pada 16 Sept itu kini menduduki nombor empat dalam carta Top 10 filem paling ramai ditonton di Israel dan negara-negara teluk Arab Saudi dan Oman pada Khamis (22 Sept).

Menurut FlixPatrol, filem arahan sutradara Syamsul Yusof itu turut meraih kedudukan nombor empat dalam senarai Top 10 filem paling popular di Netflix beberapa buah negara lain termasuk, Jamaica, Maghribi, Nigeria, dan Romania.

Selain itu, filem tersebut menduduki carta Top 10 filem popular di Netflix Bahamas, Cyprus, Finland, Turkiye, Greece, Hong Kong, Norway, Portugal, Filipina, Peru dan beberapa buah negara yang lain.

Top 5 filem paling banyak ditonton global

Sementara dalam carta Global Top 10 filem bukan berbahasa Inggeris yang ditayangkan di Netflix dari tempoh 12 hingga 18 Sept 2022, Mat Kilau meraih tempat ke-5 dengan jumlah tontonan dicatatkan adalah 3.97 juta per jam, di belakang filem No Limit (25.49 juta tontonan/jam), The Catholic School (6.43 juta tontonan/jam), Ek Villain Returns (5.16 juta tontonan/jam) dan Loving Adult (4.9 juta tontonan/jam).

Filem epik terhangat ini dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Johan As’ari, Datuk Rahim Razali dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Mat Kilau telah mencipta sejarahnya sendiri apabila menjadi filem tempatan dengan jumlah kutipan paling tinggi dalam sejarah industri perfileman negara.

Filem penuh kontroversi terbitan Studio Kembara dan diedarkan oleh Skop Production yang dihasilkan dengan bajet RM8 juta itu meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM97 juta, menjadikannya sebagai filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman setakat ini, memecah rekod produksi Hollywood, Avengers: Endgame dengan kutipan tiket di Malaysia RM87 juta, berbanding kos pembikinannya yang mencecah RM1.62 bilion. РHARAKAHDAILY 23/9/2022