Bob Lokman kental lawan penyakit hingga akhir hayat

Dato' Mumtaz Md Nawi, mengunjungi Allahyarham Bob Lokman ketika terlantar sakit.
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Pemergian pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 58, bukan hanya kehilangan besar pada industri seni tanah air, sebaliknya terhadap perjuangan PAS.

Allahyarham sejak beberapa tahun lalu bergiat aktif bersama di seluruh negara. Bob Lokman meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian, petang tadi, akibat komplikasi jantung.

- Advertisement -

Bob Lokman menghembuskan nafas terakhir jam 3 petang selepas lama menderita masalah jantung.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, arwah Bob merupakan ikon seniman dakwah, pergi meninggalkan kita pada penghulu segala hari yang penuh barakah.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum atas kehilangan insan yang banyak menyumbang kepada masyarakat dan ummah.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat serta menempatkan Almarhum bersama sekalian hamba-Nya yang soleh,” katanya dalam satu kenyataan.

Adun Demit, Dato’ Mumtaz Md Nawi pula berkata, beliau sering mengunjungi arwah untuk membantu semasa terlantar sakit di rumah keluarga di Kubang Kerian.

Bagaimanapun kata beliau arwah sering menolaknya dengan alasan ingin berusaha sendiri.

“Pemergiannya satu kehilangan besar kepada keluarganya khususnya kerana arwah merupakan seorang suami dan ayah yang sangat baik, penuh dengan prinsip dan kental melawan penyakitnya.

“Jasa Allahyarham kepada PAS dan agama sangat besar. Allahyarham menggunakan nama besarnya untuk kepentingan jemaah,” katanya ketika dihubungi.

Allahyarham menghadapi masaalah jantung dilaporkan kesihatannya mula merosot malam tadi. Bob meninggalkan seorang isteri, Relawati Daud dan lima orang anak.

Jenazah allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat Isyak malam ini di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY 23/9/22

- Advertisement -