ASEAN perlu segera bertindak tingkatkan jaminan tenaga

- Advertisement -

Oleh VOON MIAW PING

KUALA LUMPUR:
ASEAN perlu mengambil iktibar daripada krisis tenaga semasa di Eropah yang dicetuskan oleh konflik Rusia-Ukraine, dengan segera bertindak untuk melaksanakan langkah awal bagi meningkatkan jaminan (keselamatan) tenaga di rantau ini.

Pengguna dan kerajaan di seluruh Eropah terus bergelut akibat peningkatan kos tenaga di tengah-tengah kekurangan bekalan, yang memburukkan lagi krisis kos sara hidup, dan seterusnya berpotensi menjurus kepada kemelesetan ekonomi.

- Advertisement -

Rusia, pengeksport utama gas asli ke Kesatuan Eropah (EU), menutup bekalan bagi saluran paip Nord Stream 1, sekali gus meningkatkan harga gas ke paras tertinggi baharu, selain bekalan yang rendah.

ASEAN, yang turut terkesan akibat kenaikan harga bahan api, apabila negara anggota menaikkan harga atau subsidi tenaga, kini mula mengutamakan agenda jaminan tenaga.

Ketua Sosial, Undang-undang dan Hak Asasi Manusia di Emir Research, Jason Loh, berkata krisis tenaga di Eropah dijangka tidak memberi kesan buruk secara langsung kepada rantau Asia Tenggara dalam jangka pendek.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa pengurangan bekalan oleh Rusia ke Eropah akan bermakna sumber alternatif juga bakal meningkat, sekali gus boleh menjejaskan bekalan dan harga.

Memetik Malaysia – antara negara pengimport gas asli terbesar di dunia, beliau berkata negara ini mungkin akhirnya perlu membayar harga yang lebih tinggi untuk gas asli.

“Ini seterusnya akan memaksa kita untuk bergantung kepada kecukupan bekalan domestik termasuk meningkatkan projek eksplorasi dan pengeluaran di Laut China Selatan, selain mengimport dari Indonesia yang mempunyai simpanan yang besar.

“Negara anggota ASEAN seperti Filipina mungkin juga terjejas memandangkan negara itu sepatutnya mula mengimport gas asli cecair tahun ini, susulan krisis tenaga semasa,” katanya.

Bagi membangunkan jaminan tenaga serantau yang kukuh, dan berdasarkan gangguan rantaian bekalan disebabkan konflik Rusia-Ukraine, beliau berkata tindakan segera perlu dilakukan bagi menyepadukan Grid Tenaga ASEAN (APG) dan diselaras dengan Pasaran Bersama Gas ASEAN.  

Beliau berkata ini dapat membantu mengurangkan pergantungan ke atas arang batu dan seterusnya meningkatkan pergantungan ke atas gas asli daripada sumber di rantau ini, termasuk di Laut China Selatan (SCS)

Untuk tujuan itu, beliau berkata ASEAN perlu meneroka kemungkinan menubuhhkan dana tenaga bersama, dengan semua negara anggota menyumbang, selain peruntukan daripada Bank Pembangunan Asia.

“Pada masa sama, dana tenaga bersama perlu dibuka untuk pelaburan sektor swasta – serantau dan antarabangsa, yang boleh menjadi sebahagian komitmen tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG) serta agenda matlamat pembangunan mampan (SDG) secara lebih meluas memandangkan pelepasan gas rumah hijau (CHG) daripada kompresor turbin gas untuk menjana elektrik lebih rendah berbanding loji menggunakan arang batu.

“Secara tidak langsung, pelaburan sektor swasta juga berfungsi sebagai satu bentuk pelaburan langsung asing (FDI) dalam bekalan tenaga di rantau ini,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa penyiapan Pelan Induk Projek Saluran Paip Gas Trans-ASEAN (TAGP) perlu dipercepat untuk menggalakkan ketersambungan dan integrasi serantau melalui terminal pengegasan semula LNG (gas asli cecair).

Sementara itu, seorang pakar Denmark berkata krisis semasa telah menunjukkan mengenai pentingnya setiap negara bertindak segera untuk mempercepat peralihan kepada tenaga hijau.

Ketua Akhbar & Komunikasi di State of Green Denmark, Magnus Hojberg Mernild, berkata berikutan gangguan global dan harga yang melambung tinggi, sudah semakin jelas bahawa peralihan kepada tenaga bersih menjadi kunci bukan sahaja untuk menangani perubahan iklim, malah aspek utama dalam dasar  keselamatan negara dan serantau.

“Situasi ini diharapkan dapat mencetuskan gerakan global untuk mempercepat usaha ke arah pelepasan sifar bersih. Jelas sekali, situasi itu menunjukkan usaha global dan perkongsian rentas sempadan satu-satunya jalan penyelesaian,” katanya kepada Bernama dalam jawapan melalui e-mel.

State of Green ialah perkongsian awam-swasta yang bermatlamat memupuk hubungan baik dengan pihak berkepentingan antarabangsa dalam membincangkan cabaran, kecekapan dan teknologi baharu untuk membolehkan peralihan mesra alam.

Beliau mengimbas kembali pengalaman buruk Denmark dalam krisis minyak global 1970-an yang mencetuskan komitmen negara itu ke arah membangunkan industri tenaga boleh baharu yang mampan.

Beliau berkata ketika krisis minyak 1973 melanda, lebih 90 peratus bekalan tenaga negaranya diimport.

“Harga yang melonjak menjejaskan teruk masyarakat, dan menjadi titik perubahan dalam dasar tenaga Denmark.

“Krisis itu mendorong tindakan untuk mempelbagaikan gabungan tenaga negara, serta penubuhan rejim kawal selia baharu yang menjadi prasyarat untuk kejayaan orientasi semula sektor tenaga negara itu,” katanya kepada Bernama.

Hojberg turut mengaitkan kejayaan keputusan Denmark untuk meningkatkan jaminan tenaganya adalah menerusi pendekatan dalam penggubalan dasar, melalui perjanjian jangka panjang menyeluruh spektrum politik selain sokongan industri bagi merangka isu tenaga dan alam sekitar,

“Ini bermakna dasar akan terus kekal walaupun kerajaan berubah, dan kestabilan politik seterusnya membantu mendapatkan pelaburan berterusan dan penyelesaian kepada banyak cabaran pembangunan mampan negara,” tambahnya.

Beliau berkata pengalaman Denmark sepanjang dekad lalu menunjukkan bahawa pelaburan dalam tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan pengoptimuman sumber, ternyata berjaya.

Hari ini, lebih 50 peratus bekalan elektrik di Denmark menggunakan tenaga solar dan angin.

Beliau berkata pulangan pelaburan menerusi portfolio mesra alam dalam kebanyakan kes, mengatasi prestasi pelaburan dalam bahan api fosil, termasuk pengguna di Denmark boleh mendapatkan bekalan elektrik pada harga lebih rendah berbanding rakan mereka di negara Eropah yang lain.

“Dengan keluaran negara sebanyak 2.3 TWh, turbin angin negara itu menjana tenaga hijau bersamaan 68 peratus.

“Peralihan ini menunjukkan perniagaan hijau (elektrik mesra alam) membawa pulangan yang baik,” katanya. 

Menurut Hojberg, sejak 1990, Denmark berjaya memulihkan pertumbuhan ekonomi menerusi penggunaan tenaga menyeluruh.

Keluaran dalam negara kasar Denmark meningkat sekali ganda, manakala penggunaan kasar tenaga menyusut 14 peratus, dan dalam tempoh yang sama, penggunaan air berkurangan sebanyak 40 peratus, katanya.

“Berdasarkan kedudukan ini, kami yakin pertumbuhan baharu boleh dicapai tanpa menggunakan tenaga yang lebih tinggi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -