Anthony Loke dan Imam Mahadi

- Advertisement -

DATUK Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menyebut dalam satu keratan video, Anthony Loke lebih berani daripada ustaz-ustaz PAS dalam hal menghapuskan judi. Kata DSAI lagi, Anthony dengan beraninya berkata DAP ‘sanggup’ untuk menghapuskan cabutan judi. Lalu DSAI merasa kagum, eh, beraninya Anthony, panglima katanya. Mungkin sebab judi itu sinonim dengan kaum Cina, tetapi Anthony memilih menongkah arus.

Atau juga mungkin Anthony tidak mempunyai rangkaian kedai judi sebagaimana kaum Cina yang lain. Jadi beranilah dia bercakap begitu. Dan DSAI tiba-tiba, konon menjadi kagum, dengan memek wajahnya membeliakkan mata, seolah-olah Anthony adalah segalanya dalam menjadi wira menentang judi.

Dalam bab judi ini, aku teringat kisah lama, pertengahan 90-an, sedang DSAI membentangkan bajet pada tahun itu dan mendakwa belanjawan negara tahun itu, adalah mengikut konsep penjimatan Nabi Yusof. Lalu bangunlah Timbalan Presiden PAS ketika itu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menempelaknya dengan berkata, Nabi Yusof tidak pernah menghalalkan judi di zamannya.

Dan apabila DSAI memilih Anthony untuk menjadi adiwira penghapus judi, aku jadi bingung. Kenapa Anthony? Anthony hanya baru menyebut ‘sanggup’, bukannya ‘sudah’ lakukan. Dan kalau sungguh dia mahu lakukan, di negeri mana?

Dia bukan Menteri Besar di mana-mana negeri PH. Dia juga bukan Menteri Kewangan. Jadi apa kuasa dia ada untuk hapuskan judi sehingga diangkat dia sedemikian rupa? Manakala ketika kempen di Melaka, DAP menyeru rakyat menolak PAS kerana PAS akan hapuskan.

Akhirnya ceramah Anwar hanya menjadi seperti sembang kaki pancing. Ceritanya banyak berkisar mengenai ikan yang mahal, besar, hampir dapat, tetapi terlepas, tali putus dan sebagainya. Tapi bila dia memancing depan orang, tali terbelit, umpanpun tak luak, entah-entah mata kailpun tak reti nak ikat.

Kemudian yang aku terfikir lagi, tak adakah tokoh Islam dalam PH untuk bercakap pasal menghapuskan judi? Atau semua tokoh agama PH tidak kisah dengan judi? Ulamak PH hanya jadi tukang baca doa sahajakah? Bukan apa, takut nanti Anthony pula diangkat menjadi ahli majlis fatwa PH. Yalah, dia kan berani (tak buat lagipun) untuk hapuskan judi.

Bimbang sungguh aku dengan Anthony Loke sebab bila dia dilihat lebih Islam dan berani dari ustaz-ustaz PAS, takut nanti ada pula penyokong PH angkat dia jadi Imam Mahadi. PH memang pakar dalam bab melabelkan pimpinan mereka setaraf nabi dan ulamak. Anwar sudah beberapa kali ‘di-Nabi Yusof-kan’ dan ‘di-Imam Mahadi-kan’ penyokongnya. Tapi tunggu Anthony Islam dululah.

Eh, macam melampaulah pula ditulis begini. Betul, tak melampau. Kau tengok, penyokong PH bandingkan DSAI dengan Nabi Yusof, sedangkan Nabi Yusof dituduh cuba berbuat jahat dengan Zulaikha, isteri al-Aziz. Bukan Nabi Yusof dituduh ada hubungan sejenis dengan suami Zulaikha. Baginda juga minta dipenjarakan, untuk lari dari fitnah dan tidak mahu bebas sebelum dibicarakan semula untuk dibersihkan maruah.

Sedangkan DSAI, tuduhan dia lain dengan kes Nabi Yusof, tak mahu ke penjara, buat keterangan dari kandang saksi yang tidak boleh disoal. Dua kali kes lekat, hari-hari minta keluar dan akhirnya mendapat pengampunan diraja, tanpa dibicarakan semula. DSAI disamakan juga macam Imam Mahadi, tapi tak tunai janji. Dia orang bukan boleh kira, asal ada ruang boleh kutuk PAS, semuanya dia ‘on’. Lepas itu berjoget Tamil, buat muka tak bersalah.

MOHD NASIR ABDULLAH
23 September 2022 – HARAKAHDAILY23/9/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -