Agihan kerusi PN lebih mudah selesai

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KUALA NERUS:
Sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi merangka asas serta dasar utama tawaran Perikatan Nasional (PN) kepada rakyat sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha itu merangkumi pemulihan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

Selain itu tawaran masalah berkaitan alam sekitar termasuk perubahan iklim yang menyebabkan banyak eko sistem dunia berubah sekarang.

- Advertisement -

“Manifesto itu kelak turut menawarkan aspek kebajikan rakyat, kerajaan integriti serta menjamin keadilan rakyat.

“Kita sedang merangka manifesto bersama parti-parti dalam gabungan PN, kita cuba draf, jawatankuasa tersebut pun telah diwujudkan untuk kita bincang.

“Bagi negeri-negeri pula akan ikut sahaja dengan kerajaan pusat, tetapi ada juga negeri rangka manifestonya sendiri di negeri yang kita tadbir,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Pra Himpunan Teguh Pertahan di perkarangan Kompleks Sukan Terengganu di sini malam tadi.

Majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran tiga Menteri Besar negeri ditadbir PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pemilihan calon tidak menjadi keutamaan lagi sekarang biar pun sudah ada suara yang menuntut.

Namun kata beliau pihaknya kini sedang memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti serta pengagihan kerusi bersama parti dalam PN.

Beliau berkata persiapan jentera pilihan raya dan pembahagian kerusi dalam PN perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pengumuman nama-nama calon.

“Calon kita belum muktamadkan lagi, dalam muktamar di Kedah baru-baru ini ada dewan-dewan kita minta kuota calon yang agak besar.

“Tetapi pada peringkat awal ini kita fokus terhadap persiapan jentera dan pengagihan kerusi antara kita dan parti dalam PN.

“Mesyuarat agihan kerusi pertama sudah diadakan, kedua dan ketiga akan diadakan, saya rasa dalan PN mudah selesai tiada masalah sangat,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2022

- Advertisement -