SADA komited atasi isu gangguan bekalan air

- Advertisement -

ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) sedia maklum mengenai kesulitan yang dihadapi oleh para pengguna di beberapa kawasan sekitar Negeri Kedah. 

Hasil dapatan kajian SADA menunjukkan terdapat dua isu utama gangguan bekalan air yang dihadapi oleh pengguna iaitu terputus bekalan air dan bekalan air bertekanan rendah. 

Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan akaun pengguna di Negeri Kedah iaitu sebanyak 635,000 akaun, peratusan isu terputus bekalan air hanya sebanyak 0.35 peratus sahaja manakala isu bekalan air bertekanan rendah pula hanya sekitar lima (5.0) peratus sahaja.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, SADA telah, sedang dan akan melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi pelan jangka masa pendek, pelan jangka masa sederhana serta pelan jangka masa panjang.

Bagi mengurangkan beban pengguna yang terkesan dengan masalah gangguan bekalan air, penghantaran lori tangki secara berjadual dilaksanakan pada masa ini selaras dengan kehendak peruntukan undang-undang yang ditetapkan di bawah Seksyen 54(3), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) di mana SADA bertanggungjawab dalam memastikan kelangsungan bekalan air terawat kepada para pengguna termasuk dengan kaedah penghantaran lori tangki.

Pada masa yang sama, kerja-kerja mengesan paip pecah di sistem agihan sedang giat dijalankan melalui kaedah Active Leakage Control (ALC) secara menyeluruh bagi mengesan kes kebocoran paip. 

Sistem paip agihan dan retikulasi yang lama juga merupakan punca utama kepada masalah ketidakcukupan air yang berjaya disalurkan kepada end user sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah peratusan Air Tidak Terhasil atau Non-Revenue Water (NRW).

Selain itu, SADA juga sedang meneliti dan mengenalpasti lokasi yang sesuai bagi tujuan pembinaan rumah pam dan tangki sedutan. 

Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kapasiti loji dan mengatasi masalah tekanan air yang rendah di kawasan muka bumi yang tinggi dan di penghujung sistem agihan.

Sebanyak RM930 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri sebagai kos untuk menaik taraf lima buah Loji Rawatan Air (LRA). Lima LRA tersebut adalah LRA Pelubang, LRA Jenun Baru, LRA Bukit Selambau, LRA Lubuk Buntar Lama dan LRA Sungai Limau. 

Secara keseluruhan, naik taraf lima LRA tersebut akan meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran bekalan air terawat sebanyak 378MLD. 

Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dilantik sebagai badan pelaksana projek menjangkakan lima LRA tersebut akan siap dinaik taraf pada tahun 2023 dan 2024.

Naik taraf lima LRA tersebut akan memberi penyelesaian masalah gangguan bekalan air di kawasan-kawasan yang sudah lama terjejas. 

Antaranya, LRA Pelubang akan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Kuala Kedah, Ayer Hitam, Bukit Kayu Hitam dan Padang Sanai. 

LRA Jenun Baru akan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Pendang, Gurun dan Yan. 

LRA Bukit Selambau akan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Merbok, Tanjung Dawai, Semeling dan Singkir. 

LRA Lubuk Buntar Lama akan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Serdang, Relau dan Selama. 

Manakala LRA Sungai Limau akan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Weng, Baling, Kupang dan Bakai.

NRW merupakan punca utama kepada masalah ketidakcukupan bekalan air di Negeri Kedah.

Sebagai langkah kepada pemantauan kadar NRW ini, SADA telah dan sedang mengambil langkah yang lebih agresif melalui pelaksanaan program pengurangan kadar NRW secara menyeluruh dan efektif bagi meningkatkan hasil dan mutu perkhidmatan kepada pengguna sejajar dengan matlamat Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sejak tahun 2020 hingga tahun 2023, Kerajaan Negeri Kedah menerusi SADA memperuntukkan sejumlah anggaran RM73 juta bagi kerja-kerja penggantian paip lama dan usang di kawasan yang dikenalpasti sebagai hotspot melalui Program NRW Nasional Pendekatan 1-Negeri Kedah dan Program NRW Nasional Pendekatan 1-Langkawi.

Kerajaan Negeri Kedah melalui SADA sedang dalam fasa akhir untuk melaksanakan Program NRW Holistik – Negeri Kedah. 

Kerajaan Negeri melalui SADA akan menjalin kerjasama dengan pihak swasta untuk menurunkan peratusan sekali gus mengatasi masalah NRW ini.

Model pelaksanaan program ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia. 

Program ini dijangka akan bermula pada Januari 2023. 

Sasaran kita ialah menurunkan kadar NRW negeri daripada 50 peratus kepada 25 peratus dalam tempo 15 tahun akan datang.

Selain projek naik taraf lima LRA ini, terdapat 10 lagi projek bekalan air terawat sedang dan akan dibangunkan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Antara projek tersebut adalah Projek Meningkatkan Sistem Pengepaman di Padang Mat Sirat, Langkawi, Projek Pembaikan Paip Dasar Laut Sedia Ada dari Tanah Bear ke Langkawi, Projek Menaik Taraf LRA Jenun Lama, Projek Menaik Taraf LRA Jeniang Baru, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kampung Alor Pudak, Tupah, Kodiang dan kawasan sekitar serta Projek BALB Sistem Retikulasi Tahun 2019 dan Tahun 2021

Bagi Daerah Langkawi pula, SADA mempunyai perancangan untuk menukar paip dasar laut atau Submarine Pipelineyang menjadi penghubung penghantaran air terawat daripada Tanah Besar ke Tangki Pengimbang Penarak, Langkawi. 

Projek tersebut kini berada pada fasa lantikan konsultan. Jika semua proses berjalan lancar, projek penukaran paip dasar laut sepanjang 35KM ini dijangka akan bermula pada April 2023 dan dijangka siap pada September 2023. 

Penukaran paip tersebut akan meningkatkan pengeluaran air terawat sebanyak 10MLD sekali gus menyelesaikan masalah ketidakcukupan air di Pulau Langkawi. 

Sebagai syarikat operator air negeri, SADA sentiasa cakna terhadap permasalahan yang dihadapi oleh para pengguna dan berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan bagi menangani isu gangguan bekalan air di Negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -