Ribuan rakyat Terengganu berhimpun di Kuala Nerus

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUALA NERUS:
Pra Himpunan Teguh Pertahan yang diadakan di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu bermula petang tadi dijangka mengulangi kejayaan Fastaqim 2.0 yang diadakan di Pantai Tok Jebal Kuala Nerus menjelang pilihan raya umum (PRU) lepas.

Himpunan Fastaqim 2.0 diadakan pada 29 dan 30 September 2017 mencatat kehadiran luar jangka puluhan ribu, yang dianggap menjadi momentum kebangkitan PAS di Terengganu ketika menghadapi PRU14.

Himpunan Teguh Pertahan bermula jam 2.30 petang tadi dihadiri ribuan pengunjung di mana sebahagian besar mereka memakai pakaian berwarna hijau putih.

- Advertisement -

Rata-rata mereka terdiri daripada penduduk tempatan dan ada juga datang dari luar Kuala Nerus bersama keluarga serta sahabat handai bagi memeriahkan himpunan tersebut.

Sehingga jam 6 petang keadaan di tapak himpunan cuaca baik dan redup membolehkan program yang dirancang berjalan lancar.

Acara program petang bermula pengisian bicara lima tokoh mujahidah yang menampilkan Ketua Muslimat PAS Kelantan merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Zuraida Md Noor, Asma’ Abdullah dan Zarani Othman.

Turut diadakan persembahan sajak dan pentomen, doa wehdah, demo masakan dan pertandingan gubahan dan tidak terkecuali cabutan bertuah istimewa turut disediakan.

Selain itu acara demo masakan sihat dengan menampilkan selebriti tersohor iaitu Chef Jaafar Onn mendapat ribuan muslimat yang hadir.

Tidak terkecuali acara gubahan buah-buahan yang turut disertai peserta dari beberapa daerah di Terengganu antaranya Marang, Dungun, Setiu dan beberapa daerah yang lain.

Kehadiran pengunjung yang ramai juga ibarat durian runtuh bagi peniaga kecil yang membuka gerai di sekitar tapak lokasi himpunan berlangsung.

Himpunan Teguh Pertahan menyasarkan kehadiran kira-kira 100,000 orang akan menzahirkan semangat rakyat untuk bangkit mempertahankan kerajaan PAS di negeri ini.

Bagaimanapun selepas Maghrib malam ini hujan turun begitu lebat di sekitar Kuala Nerus. Malam ini akan diadakan pelancaran jentera PRU15 oleh Timbalan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebelum itu ceramah membabitkan Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub, Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Sanusi Muhammd Nor dan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -