PAS dicemburui semua pihak, bukti sentiasa di hadapan

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَلَا تَهِنُوْا وَلَا تَحْزَنُوْا وَاَنْتُمُ الْاَعْلَوْنَ اِنْ كُنْتُمْ مُّؤْمِنِيْنَ.

“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sedangkan kamulah yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang beriman”.

(Aali Imran: 139)

PAS sebuah parti dakwah dan siyasah yang disulami tarbiyah menjadikan politik sebagai salah satu medan berdakwah kepada seluruh masyarakat.

Membawa Risalah Anbiya’ (perjuangan para Nabi A.S) pastinya mengundang cabaran yang tidak terjangka. Lihat sahaja perjuangan Rasul-rasul terdahulu, sepanjang perjuangan menerima kecaman, persendaan, fitnah dan cubaan. 

Namun di atas keyakinan bahawa janji Allah pasti benar, maka para Rasul A.S terus bangkit dan beristiqamah di atas jalannya sehingga Allah menentukan keputusannya sama ada menang di dunia dan akhirat atau kemenangan yang pasti di akhirat.

Mutakhir ini kita menyaksi PAS menjadi perhatian kepada musuh politik seperti Pakatan Harapan PH dengan menggembar gemburkan isu yang tidak sepatutnya.

Bermula daripada pimpinan PAS dilantik sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Duta Khas Kerajaan sehinggalah isu hiburan dibangkitkan dengan cara yang tidak sepatutnya.

PAS terus teguh dengan agenda dakwahnya. Islam tidak menolak hiburan. Maka PAS memuji pihak yang telah menjayakan filem Mat Kilau. Begitu juga dalam hal yang berkaitan konsert di Kelantan di mana Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS telah pun menetapkan peraturan dan syarat pematuhan syariah seperti penonton lelaki dan perempuan diasingkan. 

Artis yang membuat persembahan mestilah menutup aurat serta banyak lagi ketetapan lain. Ini membuktikan bahawa PAS tidak menolak hiburan. Namun kehadiran yang luar jangka berlaku walaupun pengasingan masih berlaku menampakkan suasana keriuhan. 

PAS dilihat mendahului pihak lain dalam usaha mengadaptasikan hiburan patuh Syariah yang dapat menarik anak muda bersama PAS. Inilah punca kebimbangan pihak lain seperti Pakatan Harapan PH yang dilihat cuba membangkitkan apa-apa juga isu sensitif terhadap PAS.

Dari sudut pandang yang lain pula PAS mendahului pendekatan dakwah semasa dengan turun ke dalam denyut nadi masyarakat bagi menyelami cita rasa anak muda dengan memandu mereka mengikut panduan Syariah. Tahniah dan syabas diucapkan kepada PAS.

Persoalan yang boleh dibangkitkan mengapakah pihak seperti PH tidak pula mahu memperbesarkan isu PAS sifar rasuah? PAS mengawal arak di Kelantan, Terengganu dan Kedah? PAS menutup judi di ketiga-tiga negeri tersebut? PAS memperkenalkan Ar-Rahnu, menjadi pelopor kepada Perbankan Islam dan banyak lagi. Pastinya pihak yang tidak senang hati dengan PAS terus menggigit jari kebingungan dengan pencapaian dan pendekatan dakwah PAS. Terus beristiqamah hingga kemenangan. 

“Malaysia Sejahtera”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
25 Safar 1444
22 September 2022 – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -