PAS berideologi dan oportunis dalam politiknya?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ideologi-ideologi biarpun datang daripada pemikiran manusia, namun ianya boleh diterima untuk diambil bersama atau diikuti selagi tidak terkeluar daripada batasan iman dan kufur ditetapkan Islam. 

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin bagaimanapun menegaskan, PAS berjuang tidak hanya dengan pemikiran manusia, tetapi berakidah Islam dengan meletakkan al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias sebagai dasarnya. 

“Sebab kita tahu komprehensif ataupun kesempurnaan sesuatu perkara itu datangnya daripada Allah. Maka PAS mengambil perkara ini sebagai dasar dan itulah maksudnya berakidahkan perjuangan. 

“Kalau kita ambil, kita ambil dari sudut pendekatan Islam. Maknanya apa ideologi-ideologi yang mengambil kebaikan daripada Islam, situ kita boleh ikut. Tetapi asasnya mesti kepada Islam sebab ideologi-ideologi ini datang daripada pemikiran-pemikiran manusia. 

Dan ada di antara perkara itu yang diambil, dicedok daripada ramuan dan rencah Islam. Jadi perkara itulah yang kita boleh bersama. Ada pun perkara yang melibatkan keluar daripada batas agama, ditolak.  

“Di sinilah datangnya persoalan tentang batas-batas iman dan kufur yang kita bercerita tentang perlunya, pentingnya umat Islam memahami apa batasan iman dan juga kufur. Tak boleh kita nak cerita tentang hukum hudud itu satu benda yang zalim, sedangkan hukum hudud itu datangnya daripada Allah.  

“Jadi perkara ini yang perlu kita berikan literasi pendidikan kepada rakyat khususnya anak muda,” ujarnya bersiaran langsung di Bernama TV bersama hos, Sherkawi Jirim membicarakan tajuk “PAS berakidah, bukan berideologi?” di stesen media itu, di sini semalam. 

Jurutera teknologis profesional ini turut menyangkal kononnya PAS berpendekatan oportunis kerana mahukan kedudukan dan kerajaan kerana PAS sudahpun menambah kemenangan di Terengganu selepas Kelantan pada PRU14 lalu. 

Malah ujarnya, walaupun PAS bersendiri tetapi juga telah menjadi pembangkang yang kuat di Kedah, serta menambah kerusi di Pahang, Perak dan Pulau Pinang, sebelum setelah itu menjadi kerajaan di Kedah dan Persekutuan. 

Bahkan PAS juga tegasnya tidak oportunis apabila membuktikan pencapaian menerusi para Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kerajaan Persekutuan serta di negeri diperintah, selain integriti yang teguh tanpa rasuah. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -