Negeri diterajui PAS tolak bubar Dun musim tengkujuh

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BARU:
Kerajaan negeri yang ditadbir PAS tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan pada musim tengkujuh.

Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan mengadakan PRU pada akhir tahun ini.

- Advertisement -

Ini kerana katanya banjir yang berlaku setiap akhir tahun berikutan angin Monsun Timur Laut, memerlukan peruntukan dan perbelanjaan yang besar khususnya di Pantai Timur.

“Mesyuarat PAS peringkat pusat baru-baru ini mengambil keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) di tiga negeri berkenaan sehingga Mac 2023 sebelum penggal berakhir,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya semalam.

Baru-baru ini Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamid dilaporkan berkata, BN sanggup meredah banjir sekiranya diadakan PRU pada akhir tahun ini.

Bagaimanapun kenyataan itu ditolak pelbagai pihak termasuk pembangkang.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan yakin Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob tidak berhasrat untuk mengadakan PRU pada akhir tahun ini.

“Namun perdana menteri didesak pihak tertentu untuk mengadakan pilihan raya lebih awal khususnya membabitkan dalam kalangan pemimpin Umno sendiri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -