Muslimat perlu bangkit pertahan kerajaan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUALA NERUS:
Bangkit teguh mempertahankan kerajaan PAS Terengganu merupakan tanggungjawab semua lapisan demi memastikan kesinambungan kerajaan sedia ada.

Ketua Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, dalam berdepan dengan pelbagai cabaran ia bukan satu perkara yang mudah sebaliknya perlu kepada kesatuan dan tanggungjawab bersama.

“Justeru, kita tidak boleh berseorangan kita perlu bersama jemaah dan sama-sama memikul tanggungjawab dengan amanah yang diberikan dengan bersungguh-sungguh.

- Advertisement -

“Bukan mudah, tetapi sekiranya kita bersatu dengan berteraskan keimanan dan ketaqwaan ditambah dengan pemantapan ukhuwah, insya-Allah sebuah kejayaan dapat dicapai,” katanya pada program bicara lima tokoh mujahidah di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Mengulas lanjut Siti Zailah berkata, rakyat Terengganu mendapat pelbagai manfaat di bawah pemerintahan PAS termasuk geran tanah.

Katanya ia merupakan satu kejayaan besar buat rakyat di negeri ini selepas tanah yang pernah diberi kepada rakyat Terengganu sebelum ini dinafikan kerajaan lama.

“Malah, pelbagai manfaat lain dapat dirasakan rakyat khususnya dalam tempoh PAS mentadbir negeri sekarang.

“Ini adalah satu model menunjukkan kepada rakyat bahawa PAS mampu mentadbir negara dan yang penting bagaimana kita mahu mengekalkan kerajaan sedia,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyeru muslimat PAS mendekati agensi-agensi kerajaan bagi mendapat pelbagai kemudahan yang disediakan.

“Muslimat PAS perlu mengambil peluang dengan mendekati agensi-agensi kerajaan, kerana amat rugi jika tidak mengambil kesempatan ini untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -