Makan rasuah RM75j: Bekas menteri dipenjara seumur hidup

Fu Zhenghua Fu, 67, yang pernah menjadi salah seorang ketua polis paling berkuasa di China. (FOTO: ChinaDaily)
- Advertisement -

Susunan  ZULHAIDI MANSOR

BEIJING: Bekas Menteri undang-undang China, Fu Zhenghua, yang sebelum ini telah mengetuai beberapa penyiasatan berprofil tinggi terhadap rasuah, telah dikenakan hukuman penjara seumur hidup sabit kesalahan menerima rasuah sebanyak 117 juta yuen (RM75 juta).

- Advertisement -

Media kerajaan China dalam laporannya pada hari ini, Khamis (22 Sept) melaporkan bahawa Fu, 67, yang pernah menjadi salah seorang ketua polis paling berkuasa di China itu dijatuhi hukuman mati yang ditangguhkan, namun akan ditukar kepada penjara seumur hidup selepas dua tahun, tanpa kemungkinan parol, lapor Reuters. 

Selain itu, Fu merupakan timbalan ketua Kementerian Keselamatan Awam sebelum dilantik jawatan menteri kehakiman pada 2018, dan telah mengetuai banyak penyiasatan berprofil tinggi termasuk siasatan kira-kira sedekad lalu ke atas Zhou Yongkang, bekas csar keselamatan. 

Menurut The Economic Times pula, lebih sejuta pegawai Parti Komunis China (PKC) yang memerintah dan berpuluh-puluh pegawai tertinggi tentera China telah dihukum dalam kempen anti-rasuah menyeluruh yang dijalankan oleh Presiden China, Xi Jinping sejak beliau berkuasa pada akhir 2012.

Pengkritik berkata kempen antirasuah telah membantu Jinping mengukuhkan asas kuasa kepimpinannya.

Jinping, 69, yang mengetuai PKC, tentera, selain jawatan Presiden dijangka menamatkan tempoh perkhidmatannya selama sepuluh tahun, menjelang akhir tahun ini.

Beliau secara meluas dijangka akan disahkan untuk rekod penggal ketiga oleh Kongres PKC sekali dalam lima tahun yang akan diadakan di sini pada 16 Oktober depan.

Jika disahkan, beliau akan menjadi pemimpin PKC pertama selepas pengasas Mao Zedong yang terus berkuasa melebihi dua penggal dan mungkin seumur hidup. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -