Empat premis makanan diarah tutup 14 hari

Datuk Dr Zaini Hussin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Empat premis makanan di Kuala Krai diarahkan tutup selama 14 hari berikutan keadaan kedai yang tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata pihaknya melalui Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan telah menjalankan Operasi Bersepadu Premis Bersih itu semalam membabitkan 66 kakitangan.

- Advertisement -

“Sebanyak 64 premis diperiksa dan keutamaan membabitkan premis makanan yang terletak di sekitar Bandar Kuala Krai, kawasan peranginan Dabong, Jelawang, Kampung Laloh dan Jalan Kuala Krai-Gua Musang disebabkan lokasi itu menjadi tempat tumpuan orang ramai.

“Susulan daripada itu, 72 notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.

“Saya juga menasihatkan orang ramai khususnya yang mengunjungi premis makanan di Kota Bharu dan seluruh Kelantan supaya memilih premis makanan yang bersih.

“Pihak JKNK sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini serta komited dalam memastikan kebersihan premis makanan sentiasa berada dalam tahap memuaskan bagi memastikan makanan yang disediakan di premis makanan adalah selamat untuk dimakan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -