Ekonomi negara kekal kukuh dengan dasar-dasar responsif

Walaupun situasi global semakin mencabar

- Advertisement -

SEMENJAK pandemik COVID-19 melanda negara, Malaysia telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran, terutamanya dari segi memastikan pemulihan ekonomi, kesejahteraan hidup rakyat, serta kelangsungan perniagaan. Namun, faktor-faktor seperti ketegangan geopolitik di antara Amerika Syarikat dan China, peperangan yang berlarutan di Ukraine, dan fenomena perubahan iklim telah mengganggu rantaian bekalan yang meningkatkan harga komoditi dan makanan, lantas menyebabkan tekanan kepada kadar inflasi dan sekuriti makanan di pelbagai negara di dunia, termasuk Malaysia.

Walaupun pelbagai aspek luaran sangat mencabar sejak awal tahun 2022, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan telah berjaya membantu ekonomi Malaysia pulih, terutamanya sektor-sektor yang terjejas teruk semasa pandemik COVID-19 seperti pelancongan, peruncitan dan penerbangan. Pelbagai indikator ekonomi Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan termasuk:

i. Pemulihan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang positif sebanyak 3.6 peratus bagi suku keempat 2021, 5.0 peratus pada suku pertama 2022, dan 8.9 peratus bagi suku kedua 2022 (pertumbuhan tertinggi di Asia Tenggara bagi tempoh tersebut).

ii. Penurunan kadar pengangguran selama 12 bulan berturut-turut, dengan kadar pengangguran sebanyak 3.7 peratus bagi bulan Julai 2022, berbanding 5.3 peratus pada bulan Mei 2020. Pemulihan pasaran buruh negara dijangka terus mencatat perkembangan positif pada bulan-bulan akan datang.

iii. Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang meningkat sebanyak 12.5 peratus pada Julai 2022 berbanding tahun sebelumnya. Jualan bagi sektor pembuatan juga naik 23.8 peratus kepada hampir RM150 bilion.

iv. Nilai jualan Perdagangan Borong dan Runcit yang meningkat sebanyak 41 peratus kepada RM130.7 bilion pada bulan Julai 2022. Pertumbuhan ini disumbangkan oleh subsektor Kenderaan Bermotor yang naik lebih dari 600 peratus, Perdagangan Runcit yang meningkat 37.5 peratus, dan Perdagangan Borong yang naik 20.6 peratus. 

v. Aktiviti pelancongan menunjukkan perkembangan positif apabila kadar penghunian hotel meningkat sebanyak 53.6 peratus pada suku kedua tahun 2022 berbanding 22.6 peratus pada tahun sebelumnya. Jumlah trafik penumpang di rangkaian lapangan terbang MAHB mencatat 20.25 juta bagi separuh pertama tahun ini, peningkatan lebih 600 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Terkini, ketibaan pelancong pada bulan Julai 2022 meningkat lebih dari 17,000 peratus kepada 1.1 juta ketibaan.

vi. Nilai eksport meningkat sebanyak 48.2 peratus kepada RM141.3 bilion pada bulan Ogos 2022, iaitu peningkatan dua digit selama 13 bulan berturut-turut. Bagi lapan (8) bulan pertama 2022, jumlah eksport telah melebihi RM1 trilion, iaitu jangka masa tersingkat yang pernah dicatatkan bagi melepasi jumlah ini. Secara keseluruhan, perdagangan luar berkembang sebanyak 33.1 peratus kepada RM1.87 trilion bagi lapan (8) bulan pertama tahun ini.

vii. Pelaburan asing bersih di pasaran saham negara berjumlah hampir RM8 bilion, serta pelaburan runcit bersih yang melebihi RM2 bilion dari awal tahun sehingga kini.

Kesemua kejayaan ini turut disumbang oleh dasar fiskal yang mengembang melalui Bajet 2022, dan dasar monetari yang kekal akomodatif. Sehubungan itu, bagi tahun 2022, KDNK Malaysia dijangka akan berkembang lebih baik, iaitu antara 5.3 – 6.3 peratus.

Pergerakan nilai ringgit adalah seiring dengan perkembangan ekonomi dan matawang utama dunia

Dari segi nilai Ringgit, pergerakannya adalah seiring dengan perkembangan ekonomi dan matawang utama dunia. Jika diimbas kembali:

i. Semasa kemuncak Krisis Kewangan Asia, matawang kita telah jatuh sebanyak 53.8 peratus pada tahun 1997 (dengan kadar terendah antara RM4.73 dan RM4.88 bagi setiap 1 Dolar AS pada 7 Januari 1998), dan 8.5 peratus sehingga hujung Ogos 1998.

ii. Pada September 1998, Kerajaan pada waktu itu mengambil keputusan untuk menambat Ringgit kepada Dolar AS dengan kadar pertukaran RM3.80 bagi setiap 1 Dolar AS sehinggalah hujung Julai 2005.

iii. Pada hujung 1997, Bank Negara telah meningkatkan kadar OPR kepada 11 peratus, dan ini telah kekal pada kadar 7 peratus menjelang hujung 1998.

iv. Pada waktu itu, ekonomi merudum apabila KDNK menyusut sebanyak 7.4 peratus pada tahun 1998.

v. Sepanjang krisis tersebut, lebih dari 102,000 rakyat telah kehilangan pekerjaan, manakala kadar inflasi telah melonjak kepada 6.2 peratus pada Jun 1998, sebelum menyederhana kepada 5.3 peratus pada penghujung tahun tersebut.

vi. Setelah tambatan Ringgit kepada Dolar AS dilepaskan, nilai Ringgit terus bergerak seiring dengan pergerakan pasaran yang dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi dunia serta prestasi rakan dagangan utama negara [1].

Berbanding tahun 1997 dan 1998, berdasarkan indikator ekonomi yang telah dicapai, jelas sekali negara kini tidak berada di dalam situasi krisis kewangan mahupun ekonomi. Pada masa ini, Kerajaan melalui BNM tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada Dolar AS kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian (trade-off) yang besar. Seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit [2].

Jika Ringgit ditambat, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti di AS. Langkah tambatan matawang juga perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal. Tindakan ini pastinya akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
Walaupun Ringgit telah menurun sebanyak 8.7 peratus berbanding dolar AS sejak awal tahun 2022, pelbagai matawang lain juga merosot dengan kadar yang lebih ketara:

- Advertisement -
Prestasi matawang terpilih berbanding Dolar AS (Sumber: Bloomberg)
Nilai Ringgit terus mengukuh berbanding pelbagai matawang utama seperti berikut (Sumber: Bloomberg)

Secara ringkas, pengukuhan meluas Dolar AS merupakan faktor utama yang telah mempengaruhi pergerakan pertukaran asing global dan serantau:

i. Antara pendorong penting kepada situasi ini termasuklah kenaikan kadar faedah yang besar serta agresif oleh Rizab Persekutuan AS secara kumulatif sebanyak 225 mata asas setakat 20 September 2022.

ii. Kadar faedah AS dijangka meningkat lagi antara 75 atau 100 mata asas semasa mesyuarat seterusnya pada 21 September 2022 bagi membendung inflasi di AS yang terus meningkat.

iii. Pulangan yang lebih tinggi bagi aset dalam dolar AS akan menjana permintaan yang lebih tinggi terhadap aset tersebut dalam kalangan pelabur global. Ini telah menggugat sentimen di pasaran dan kalangan pelabur yang seterusnya bertindak untuk menyusun semula portfolio pelaburan mereka dalam aset selamat (safe haven assets) dan instrumen kewangan dalam Dolar AS. Sudah pastinya kebanyakan matawang dunia akan terus melemah berbanding Dolar AS akibat daripada situasi ini.

Kadar pertukaran ringgit yang fleksibel pada masa ini merupakan satu dasar yang penting bagi mengimbangi keperluan untuk menyerap kejutan luaran bagi menyokong aktiviti ekonomi domestik, meskipun dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan ekonomi global yang tidak menentu.

Kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) akan sentiasa memastikan keadaan pasaran kewangan yang stabil dan lancar, dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kecairan yang mencukupi serta pasaran yang berdaya tahan bagi memastikan kestabilan nilai Ringgit. Pemantauan berterusan juga dilaksanakan oleh BNM untuk memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing dan mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit. Sementara itu, Kerajaan akan terus menguruskan risiko-risiko perkembangan domestik dan luaran.

Subsidi RM80 bilion dan bantuan berterusan mengurangi impak inflasi

Setakat ini, inflasi kekal terkawal dengan kadar 4.4 peratus pada Julai 2022. Bagi tujuh (7) bulan pertama tahun ini, inflasi adalah 2.8 peratus, antara kadar yang terendah di dunia disebabkan oleh bantuan subsidi berjumlah hampir RM80 bilion bagi menampung, antara lainnya, kawalan harga pelbagai barangan asas, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang telah ditambah baik dan subsidi petrol. Tanpa pemberian subsidi kepenggunaan berkaitan, kadar inflasi negara dianggar meningkat antara 11 hingga 12 peratus.

Sehingga kini, Kerajaan telah meningkatkan keperluan perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial kepada hampir RM80 bilion, lebih tinggi berbanding peruntukan asal Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion. Ini termasuklah:

i. Menyediakan pelbagai bantuan sosial termasuk bantuan tunai langsung BKM dengan peruntukan RM8.2 bilion bagi tahun 2022.

ii. Akses mudah kepada barangan keperluan melalui diskaun Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di 600 DUN dan 13 Parlimen seluruh negara.

iii. Penstabilan harga makanan utama seperti ayam, telur dan minyak masak, serta harga bahan api melalui pemberian subsidi RON95 dan elektrik.

Pembaharuan struktur penting bagi membina daya tahan masa depan

Walaupun indikator ekonomi membuktikan bahawa kita berjaya bangkit daripada impak pandemik COVID-19 dan membendung inflasi, persekitaran luaran global semasa telah menjadi lebih tidak menentu. Oleh sebab itu, suku keempat 2022 dan tahun 2023 dijangka lebih mencabar kerana prospek ekonomi global bakal melembap, ekoran ketegangan geopolitik di antara Amerika Syarikat dan China yang berterusan, peperangan di Ukraine yang masih tiada kesudahan, serta dasar sifar COVID-19 di China yang telah menjejaskan bekalan rantaian dunia. Malah, akibat dasar konservatif tersebut, Bank Pembangunan Asia (ADB) telah menurunkan unjuran KDNK China kepada 3.3 peratus bagi tahun 2022, kadar terendah berbanding negara membangun Asia yang lain buat pertama kali semenjak 30 tahun yang lalu. Faktor perubahan iklim juga dijangka akan mengganggu produktiviti pengeluar makanan utama seperti India, lantas menyumbang kepada peningkatan harga komoditi dan makanan.

Faktor-faktor ini akan terus memberi tekanan kepada kadar inflasi dan sekuriti makanan di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Sehubungan itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menyemak semula unjuran pertumbuhan global bagi tahun 2023 daripada 3.8 peratus pada Januari 2022 kepada kepada 2.9 peratus pada Julai 2022. IMF juga telah meningkatkan kadar unjuran inflasi mereka sebanyak 0.8 mata peratusan kepada 9.5 peratus bagi negara membangun, dan 0.9 mata peratusan kepada 6.6 peratus bagi bagi negara maju. Kesemua faktor-faktor ini juga akan memberi impak kepada unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun 2023, yang dijangka akan lebih rendah dari tahun 2022.

Sebagai sebuah ekonomi terbuka di mana jumlah perdagangan melebihi 120 peratus daripada KDNK, Kerajaan akan terus proaktif bagi mempersiapkan negara dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut. Sehubungan itu, sejak pandemik bermula, Kerajaan khususnya Kementerian Kewangan (MOF) sedar betapa pentingnya pembaharuan struktur bagi memastikan pembangunan lestari dan telahpun memulakan inisiatif seperti penambahbaikan jaringan keselamatan sosial; menangani isu pengangguran di kalangan belia, dan pelaksanaan upah minima.

Walau bagaimanapun, isu-isu struktur yang telah bertapak berdekad lamanya ini akan mengambil masa untuk ditangani, bukan dalam sekelip mata. Kadar perbelanjaan yang tinggi bagi melindungi nyawa dan kesihatan awam, serta sokongan perniagaan semasa pandemik juga menuntut kita untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara juga bagi mengatasi isu-isu struktur ini.

Bajet 2023 juga akan terus mengutamakan agenda pembaharuan struktur bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi pasca COVID-19, memastikan kesejahteraan rakyat dan memperkukuhkan daya tahan rakyat dan perniagaan terhadap sebarang kejutan pada masa depan, terutamanya cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang serius dan berterusan.

YB TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ 
Menteri Kewangan – HARAKAHDAILY 22/9/2022

Lampiran 1 – Indikator-indikator ekonomi lain yang membuktikan keadaan ekonomi Malaysia masih di landasan kukuh

i. Nilai transaksi perbankan melalui kad debit (tunai) meningkat sebanyak 60 peratus, manakala transaksi perbankan internet meningkat 14.1 peratus bagi tujuh bulan pertama tahun ini.

ii. Dari segi pinjaman, secara keseluruhan, pertumbuhan bayaran balik pinjaman terus mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman, mencerminkan bantuan bayaran balik pinjaman yang terus berkurang. Sebagai contoh, pengeluaran pinjaman kepada perniagaan meningkat 19.8 peratus pada Julai 2022, di mana pinjaman kepada sektor pembuatan meningkat sebanyak 19.7 peratus manakala sektor pembinaan meningkat sebanyak 31.2 peratus.

iii. Pembiayaan bersih meningkat sebanyak 5.3 peratus pada Julai 2022, didorong oleh pertumbuhan pinjaman perumahan dan kenderaan pada kadar 6.1 peratus. Bagi sektor perniagaan, pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 5.8 peratus, didorong oleh pemberian pinjaman kepada sektor PKS bagi tujuan modal kerja.

iv. Kes kebankrapan individu terus menunjukkan tren penurunan. Pada tahun 2019, sejumlah 12,051 kes dicatatkan, dan jumlah ini terus menurun pada tahun 2020 kepada 8,351 kes, 6,554 kes pada 2021, dan 3,604 kes setakat Julai tahun ini. Tindakan muflis terhadap peminjam kekal sebagai pilihan terakhir selepas semua usaha pemulihan telah diambil.

v. Kes penggulungan syarikat juga menunjukkan tren penurunan. Pada tahun 2019, sejumlah 1,968 kes direkodkan, dan terus menurun kepada 1,191 kes pada 2020, 1,113 kes pada 2021, dan 830 kes sehingga Julai tahun ini.

Lampiran 2 – Pergerakan Ringgit seiring dengan matawang Yuan, rakan dagang utama Malaysia, dari tahun 2006 – 2021

Sumber: IMF

RUJUKAN:

[1] Rujuk kepada Lampiran 2

[2] Contohnya, jika ringgit ditambat kepada dolar AS dan seandainya kadar faedah Rizab Persekutuan meningkat sebanyak 325 mata asas (atau 3.25 peratus) secara keseluruhan pada 2022, maka OPR juga perlu dinaikkan pada kadar yang sama meskipun Malaysia berada pada tahap pemulihan ekonomi dan tekanan inflasi yang berbeza daripada AS.

- Advertisement -