Dorna sedia bawa perlumbaan MotoGP ke India

- Advertisement -

MotoGP bersedia untuk mengadakan perlumbaan di India buat kali pertama selepas pemegang hak komersial, Dorna Sports menyatakan telah mula berusaha untuk membawa kejuaraan dunia ke negara itu dalam tempoh terdekat.

Dorna bersedia untuk bekerjasama dengan bakal penganjur acara, Fairstreet Sports untuk mengadakan perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Buddh di pinggir New Delhi.

- Advertisement -

Trek sejauh 5.14 kilometer itu menjadi lokasi perlumbaan Formula Satu antara 2011-13 sebelum digugurkan dari kalendar.

Dorna dan Fairstreet tidak menyatakan tarikh perlumbaan itu bakal diadakan, tetapi menyatakan sedang berbincang dengan kerajaan negeri Uttar Pradesh dan kementerian sukan India.

Keputusan MotoGP untuk mengadakan perlumbaan di India dilihat sebagai strategi untuk memperluaskan kehadiran di Asia dengan Jepun, Thailand dan Malaysia berada dalam kalendar musim semasa.

“India sebagai sebuah negara dan pasaran yang besar, amat penting bagi industri roda dua dan MotoGP sebagai sukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta.

“Kejuaraan ini mempunyai pangkalan peminat yang besar di sana dan penganjuran MotoGP di India akan menjadi acara yang luar biasa untuk peminat dan pada masa sama membolehkan kami terus mengembangkan sukan permotoran di rantau ini.”

India juga akan menjadi tuan rumah perlumbaan Formula E di bandar selatan Hyderabad pada Februari. – REUTERS

- Advertisement -