Buat kajian sebelum berdakwah

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh. Foto Facebook YADIM, 22 September 2022.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PUTRAJAYA
: Organisasi dakwah perlu membuat kajian terlebih dahulu mengenai permasalahan yang dihadapi kumpulan sasar sebelum membuat sebarang program.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad berkata, program dakwah yang hendak dilaksanakan perlu bersifat penyelesaian serta memenuhi keperluan sebenar kumpulan sasar.

Selain itu katanya, program secara tetap dan berkala perlu disusun sebaiknya agar pelaksanaannya berkesan.

“Seluruh organisasi dakwah perlu bersatu fikrah (pemahaman) dan tindakan bagi menghasilkan natijah yang baik dalam program-program dakwah.

“Gerakan dakwah yang bersifat Ummah Centric (bepaksikan ummah) akan memberi nafas baharu dan lebih proaktif dalam menyampaikan amar maaruf nahi mungkar kepada masyarakat,” katanya.

Teks ucapan Idris dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh semasa perasmian Konvensyen Antarabangsa Melestari Pembangunan dan Gerakan Dakwah 2022, di sini, hari ini.

Menurut Idris, pendakwah perlu berusaha dan agresif menghasilkan kandungan dakwah berasaskan fakta dan ilmu, menarik, kreatif serta interaktif.

Usaha itu katanya amat penting dilakukan dengan kadar segera bagi menyantuni golongan muda dan memanfaatkan teknologi semasa.

“Oleh itu, institusi dan pertubuhan dakwah perlu mengorak langkah menyediakan pasukan komunikasi strategik bersama pasukan kandungan kreatif untuk menghasilkan kandungan-kandungan dakwah di media sosial,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, perpaduan umat Islam mestilah menjadi agenda terpenting dalam usaha dakwah dan para pendakwah di setiap peringkat perlu menjadi jurubicara ummah untuk merealisasikan agenda perpaduan.

Katanya, perbezaan pendapat perlu dipandu secara harmoni bagi mengelakkan perpecahan dan umat Islam perlu menjadi contoh dalam mengukuhkan perpaduan berbilang bangsa dan agama.

“Kemajmukan adalah satu fitrah yang perlu diurus dengan hikmah dan bijaksana. Sebagaimana yang kita maklum, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik, budaya dan agama.

“Dalam hubungan ini, formula pengukuhan masyarakat majmuk terletak kepada kesepaduan rakyat pelbagai kaum untuk hidup saling faham memahami, bertoleransi dan menerima kepelbagaian antara satu sama lain,” katanya.

Justeru kata Idris, konvensyen hari ini merupakan platform tepat untuk peserta berinteraksi dan berdiskusi mengenai tindakan dan langkah yang boleh diambil untuk memeta hala tuju dakwah global yang komprehensif.

Katanya, kerjasama erat antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil dan orang awam juga penting dalam memperkasa agenda dakwah kepada massa.

Oleh itu, beliau berharap proses penglibatan bersama pihak berkaitan juga wajar diadakan bagi mendapatkan pandangan serta input berguna demi memastikan pelan tindakan yang dibangunkan inklusif.

Dalam majlis sama, turut diadakan pelancaran Jurnal YADIM: International Journal of Islam and Contemporary Affairs.

Sementara itu, Tuan Kamarul Arief berkata, dakwah tetap menjadi kewajipan dan perlu diteruskan, tetapi pelaksanaannya perlu realistik dan relevan dengan keadaan semasa.

Justeru katanya, hasil daripada konvensyen yang berlangsung pada hari ini dan esok akan dimasukkan dalam Jurnal YADIM seterusnya.

Dr Zakir Abdul Karim Naik. Foto Facebook YADIM, 22 September 2022.

Sementara itu, pendakwah antarabangsa Dr Zakir Abdul Karim Naik, berkata konvensyen berkenaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang meletakkan dakwah bentuk profesional.

Katanya, perkara itu amat menggembirakannya dan kajian adalah langkah yang baik untuk mencari kaedah terbaik mengenai pelaksanaan dakwah, termasuk penggunaan teknologi masa kini. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -