Tiada layanan perubatan istimewa untuk Najib

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan tiada campur tangan dan layanan istimewa dalam urusan rawatan perubatan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pada setiap waktu dan masa, KKM menjalankan tugas secara profesional mengikut tatacara dan garis panduan sedia ada.

“Perkara ini dah dibangkit di mahkamah oleh timbalan pendakwa raya yang minta supaya ditangguhkan prosiding supaya Najib mendapat rawatan hospital, dan selepas itu beliau dimasukkan ke Hopital Kuala Lumpur (HKL) dan menjalani beberapa rawatan dan beberapa siri pemeriksaan.

- Advertisement -

“Sekarang ini Najib dah dipindah dan dirujuk ke HRC untuk rawatan rehabilitasi dan pemantauan lanjut susulan faktor kesihatan yang diadukan beliau.

“Kita melaksanakan ini supaya tidak ada  pertikaian dari mana-mana pihak, dari keluarga Najib dan Najib sendiri bahawa tiada rawatan yang diberi kepada beliau. Kita dah sedia semua rawatan yang diperlukan dan semua pemeriksaan yang diminta, kita dah melaksanakannya,” katanya kepada pemberita semasa temu bual Setahun Pencapaian Sebagai Menteri Kesihatan, di sini hari ini.

Khairy berkata selepas dirujuk ke HKL, Najib diberikan latihan untuk melakukan rawatan rehabilitasi secara kendiri.

Katanya pakar perunding perubatan akan mengadakan sidang keluarga bersama Najib dan ahli keluarga dalam masa terdekat bagi memaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan rawatan untuk Najib.

“Saya difahamkan selepas sidang keluarga diadakan, Najib akan dihantar ke Penjara Kajang sebaik sahaja pakar perunding perubatan memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.

“Sekarang ini mereka sedang menyediakan rekod perubatan untuk dikongsi bersama keluarga semasa persidangan keluarga. Jadi tak lamalah, sebaik sahaja anda menyediakan rekod perubatan, maknanya pakar pun dah berpuas hatilah Najib boleh balik (ke Penjara Kajang),” katanya, dan menambah sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seorang pesakit termasuk banduan boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan mahkamah.

Terdahulu Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan Najib sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di HRC.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan itu memaklumkan pihak HKL telah merujuk Najib ke HRC pada hari Isnin lepas.

Jabatan Penjara memaklumkan pada 12 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan supaya Najib dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setelah dimaklumkan keadaan kesihatan beliau yang tidak memuaskan.

Pada 23 Ogos lepas, Najib dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib, 69, juga menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Sementara itu ditanya adakah KKM telah mengambil tindakan terhadap seorang pegawai perubatan di HKL yang didakwa tidak beretika apabila mendedahkan maklumat kesihatan Najib secara tidak langsung di media sosial, Khairy berkata siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pengarah HKL.

“Semua di KKM.. memang kita perlu mematuhi tataetika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971, sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan mana-mana pesakit termasuk banduan yang berada di bawah rawatan KKM mestilah disimpan kerahsiaannya.

“Dalam hal ini, kes telah dirujuk dan saya dah minta pengarah HKL untuk siasat kes dan jika didapati ada pelanggaran tataetika maka tindakan disiplin boleh diambil terhadap pegawai berkenaan,” katanya.

Khairy berkata siasatan yang dijalankan perlulah memastikan akaun media sosial itu dimiliki oleh pegawai perubatan yang terlibat dan hantaran atau posting itu dimuat naik oleh pegawai perubatan berkenaan.

Minggu lepas, tular di media sosial hantaran Twitter didakwa milik seorang pegawai perubatan di HKL yang menerusi ciapannya, mengulas dakwaan anak Najib bahawa bapanya tidak mendapat rawatan sewajarnya. – BERNAMA

- Advertisement -