Semua pihak digesa sokong naik taraf pasar umum

- Advertisement -

Oleh AIZAL SAMSARUDDIN

SANDAKAN:
Semua pihak diminta menyokong penuh usaha Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menaik taraf pasar umum di sini yang dijadulkan bermula hujung bulan.

Ahli MPS, Sahar Abdul Majid usaha murni itu sangat wajar memandangkan pasar umum itu yang mula beroperasi sejak 2006 mengalami banyak kerosakan.

- Advertisement -

“Ia perlu dinaik taraf demi keselesaan para peniaga dan pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika lawatan ke pasar umum itu, semalam.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar tiada mana-mana pihak yang cuba memainkan sentimen politik berikutan beberapa isu pelaksanaan dan penempatan para peniaga.

“Pihak MPS memahami apa yang cuba dibangkitkan oleh para peniaga dan berusaha sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk peniaga selepas beberapa siri pertemuan dibuat.

“Saya sendiri beberapa kali hadir mesyuarat bersama pegawai MPS untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan alhamdulillah kita telah menemui solusinya yang pastinya memberikan kebaikan kepada semua pihak,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Sandakan.

Beliau turut menasihati para peniaga dan orang ramai agar bersabar dan sentiasa memberikan kerjasama yang baik serta menerima keputusan dan perancangan MPS demi kebaikan bersama.

Pasar umum yang terletak di pusat bandar ini akan dinaiktaraf bermula 28 September ini dan dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung Disember nanti. – HARAKAHDAILY 21/9/2022

- Advertisement -