Tapak bijih emas, tembaga RM24b ditemui di Madinah

Susunan  ZULHAIDI MANSOR

JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan penemuan tapak baharu untuk deposit emas dan bijih tembaga di wilayah Madinah  yang dijangka mampu menarik jumlah pelaburan tempatan dan antarabangsa mencecah sehingga AS$533 juta (RM24 bilion).

Advertisement

Badan Kajian Geologi Saudi, (SGS) yang diwakili oleh Pusat Tinjauan dan Penerokaan Mineral berkata, penemuan bijih emas adalah di sekitar sempadan Aba Al Raha, manakala tembaga ditemui di empat tapak di kawasan Al Madiq dalam wilayah Wadi Al Faraa, di Madinah, lapor Saudi Press Agency.

Sementara Al Arabiya melaporkan bahawa penemuan bahan galian berharga baharu itu turut dijangka memberi sebanyak 4,000 peluang pekerjaan baharu.

Ia adalah antara penemuan terbaharu tahun ini, yang akan membantu mengembangkan sektor perlombongan Saudi, selaras dengan matlamat yang ditetapkan oleh Vision2030 Putera Mahkota Mohammed Salman yang bertujuan untuk mengemudi negara ke arah ekonomi pasca minyak yang pelbagai.

Pada Julai lepas, Menteri Industri dan Sumber Mineral Saudi, Khalid Al-Mudaifer berkata bahawa kerajaan itu berjaya menarik lebih AS$8 bilion dalam modal langsung asing dalam industri perlombongannya tahun lepas, berikutan undang-undang yang diluluskan yang mendorong pelaburan dalam sektor itu.

Pada awal 2022, kerajaan Saudi berkata ia sedang mencari untuk menarik pelaburan bernilai AS$170 bilion dalam sektor perlombongannya menjelang akhir dekad ini. 

Bagaimanapun, kadar pembangunan dan eksploitasi lombong perlahan sejak Riyadh mengumumkan pada 2018 bahawa aset bahan galian di negara itu  dianggarkan mencecah AS$1.3 trilion.

Gulf News pula melaporkan penemuan terbaharu bijih  emas dan tembaga itu mewakili potensi yang menjanjikan cari gali mendapan kuprum khas, daripada mineral kalkosit (Cu2S), yang bertaburan, serta beberapa mineral karbonat kuprum sekunder.

“Penemuan berkenaan akan mempercepatkan kadar pelaburan perlombongan di Kerajaan, dan dengan itu, akan menyokong Wawasan Kerajaan 2030 dan ekonomi negara Saudi.

“Penemuan ini di pelbagai lokasi di Arab Saudi akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dengan kemasukan pelabur tempatan dan antarabangsa untuk membuat pelaburan dalam sektor perlombongan yang berkembang maju,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 21/9/2022