Letusan lumpur di Tabin selamat, kata pakar geologi

- Advertisement -

LAHAD DATU: Letusan lumpur yang berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin di sini baru-baru ini tidak membahayakan, kata pakar geologi.

Bekas Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Felix Tongkul berkata lumpur yang keluar dari letusan itu adalah sejuk dan selamat kepada manusia dan haiwan.

“Letusan lumpur yang berlaku di Tabin (pada Ahad) adalah selamat meskipun dramatik kerana kejadian itu terhad di lokasi berkenaan sahaja serta tiada kesan signifikan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

- Advertisement -

Malah kata beliau, bahan lumpur yang keluar dari bumi ada ketika membawa mineral dan garam yang bermanfaat dari segi perubatan dan nutrien.

“Sebab itu ada pelancong suka mandi dalam lumpur kononnya baik untuk kulit,” katanya.

Felix berkata letusan lumpur itu boleh berlaku di kawasan yang terdapat retakan atau rekahan dalam bumi dan biasanya berlaku secara berterusan pada kadar yang kecil.

Bagaimanapun menurutnya letusan lumpur yang dramatik pula berlaku bila tekanan lumpur dalam bumi meningkat dan perlu dilepaskan.

Felix berkata kejadian letusan lumpur dramatik seperti pada Ahad lepas itu boleh berulang apabila tekanan lumpur yang terkumpul mencapai tahap tertentu.

“Biasanya gegaran gempa bumi yang berdekatan juga boleh mencetus letusan dramatik seperti yang berlaku di Tabin.

“Namun letusan yang berlaku pada Ahad lalu di Tabin ini tidak ada kaitan dengan gempa bumi di Taiwan kerana kedudukannya yang sangat jauh,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penggunaan istilah gunung berapi lumpur bagi merujuk kejadian itu adalah tidak sesuai serta mengelirukan kerana tiada api yang keluar dan istilah yang paling sesuai digunakan ialah letusan lumpur.

Pada Ahad, letusan lumpur berlaku di taman hidupan liar itu kira-kira pukul 10 pagi dan dirakamkan oleh pelancong dan pemandu pelancong di kawasan itu.

Selepas itu, video tersebut menjadi viral di media sosial dan menjadi bualan netizen.

Letusan serupa dilaporkan berlaku pada 2014 dan 2019 namun tidak dirakamkan. – BERNAMA

- Advertisement -