Isu Tommy Thomas: Ketua Polis Negara diminta bertindak segera

Shahbudin Embun pada sidang media di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 21 September 2022. (FOTO: HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) meminta Ketua Polis Negara dan kepimpinan tertinggi negara bertindak segera berhubung kenyataan Tan Sri Tommy Thomas  yang dikhuatiri berbaur rasis dan perkauman, agar ia tidak lagi dipermainkan sesuka hati kerana perkara paling penting adalah keselamatan negara dan rakyat mengatasi politik.

- Advertisement -

Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan MPM, Shahbudin Embun berkata, pihak MPM membantah atas hujahan Tommy Thomas bahawa Kerajaan Melayu gagal, yang membawa kepada maksud kerajaan pimpinan Melayu ketika adalah tidak berguna (atau useless). 

Menurutnya, MPM memprotes kenyataan Tommy berbaur perkauman, rasis dan boleh membawa padah kepada keharmonian kaum di negara ini.

Tambahnya, ini menunjukkan dengan jelas bahawa beliau waima bekas Peguam Negara itu tidak dapat membezakan ucapan politik yang matang tetapi beliau memilih untuk berhujah secara menyanggah kesalahan undang-undang demi memainkan isu rasis dan perkauman. 

“Kami ingin mengingatkan Tommy Thomas dan rakan-rakan sekutunya bahawa di negara ini kami telah hidup aman dan sejahtera di bawah kepimpinan Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri di bawah kerajaan Keluarga Malaysia.

“Kami dari MPM tidak akan membiarkan negara ini diperkotak-katikkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan kami ingin memberi amaran keras  kepada mereka yang tidak mahu mengikut lunas lunas undang-undang dan Perlembagaan Negara Malaysia dan menjunjung tinggi Martabat Raja-Raja Melayu agar sentiasa berwaspada dengan tidak tanduk kalian,” katanya ketika sidang media UMMAH DAN MPM di IPD Dang Wangi, di sini, hari ini. 

Rentetan itu katanya,disebabkan  kata-kata penghinaan berbaur perkauman dan rasis oleh Tommy itu boleh disiasat di bawah Akta Hasutan kerana bekas Peguam Negara itu tidak prihatin akan sensitiviti pada keadaan negara kita yang berbilang bangsa dan agama.

Jelas beliau,  kenyataan Tommy itu mengejutkan pihaknya dan tidak menyangka bahawa beliau telah meletakkan ayat sedemikian.

Katanya lagi, kerajaan Malaysia ini bukan semata-mata kerajaan Melayu tetapi kerajaan campuran yang terdiri daripada berbilang kaum, namun kenyataan Tommy tersebut seolah-olah memperlecehkan bangsa Melayu dan dengan sendirinya ia ditafsirkan sebagai berbaur perkauman.

“Amat malang sekali apabila Tommy Thomas tidak tahu, buat-buat tidak tahu atau memang selalunya bias terhadap orang Melayu.

“MPM menyokong penuh laporan polis ini dan menyeru supaya Perdana Menteri, menteri-menteri berkenaan, Ketua Polis Negara menyiasat niat sebenar Tommy Thomas di sebalik ucapannya dalam sebuah forum baru-baru ini,” katanya. 

Terdahulu, pada Sabtu lalu, Tommy dalam sebuah forum ‘Dark Forces Towards GE15’ yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor dilaporkan berkata bahawa dua pentadbiran kerajaan selepas kejatuhan PH pada 2020 dengan mendakwa ia melambangkan kegagalan kerajaan yang dikuasai Melayu.

Tommy dalam ucapannya itu mendakwa kerajaan semasa adalah ilustrasi ‘Ketuanan Melayu’ dan dua setengah tahun kebelakangan ini Kabinet didominasi sepenuhnya oleh orang Melayu. -HARAKAHDAILY 21/9/2022

- Advertisement -