Dagangan Malaysia-Turkiye dijangka cecah US$5 bilion

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turkiye berada pada kedudukan yang baik untuk capai sasaran jumlah dagangan dua hala sebanyak AS$5 bilion sebelum akhir tahun ini, lebih awal daripada sasaran, kata Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.

Diplomat itu berkata tahap perdagangan semakin meningkat dengan kukuh, dan di luar jangkaan.

“Pada 2024, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara, kami membuat unjuran sebanyak AS$5 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama baru-baru ini.

Yuksel, yang dilantik ke jawatan itu pada Jun, berkata walaupun ekonomi dunia mengalami kemerosotan akibat pandemik Covid-19 sejak 2020, hubungan komersial Malaysia-Turkiye terbukti berdaya tahan dengan jumlah dagangan dua hala meningkat sebanyak tujuh peratus.

- Advertisement -

Tempoh berikutnya menyaksikan kadar yang lebih pantas, seperti jangkaan, katanya, sambil menambah bahawa angka meningkat hampir 50 peratus pada 2021 (AS$3.54 bilion) dan pada separuh pertama 2022 (AS$2.42 bilion), menjadikan Malaysia kekal sebagai rakan dagangan terbesar Turkiye di Asia Tenggara.

Beliau berkata kedua-dua negara telah memuktamadkan rundingan untuk meluaskan Perjanjian Perdagangan Bebas bagi meliputi perkhidmatan, pelaburan dan e-dagang.

“Apabila ditandatangani dan dikuatkuasakan, ia akan menjadi satu lagi rangsangan dalam hubungan perdagangan kami,” katanya.

Diplomat itu yakin perjanjian pertukaran mata wang dalam mata wang tempatan, akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, dengan bank pusat kedua-dua negara sedang berbincang untuk memuktamadkan perjanjian.

Selain itu, beliau yakin kedua-dua ekonomi Islam itu boleh menjalin kerjasama dalam kewangan dan perbankan Islam serta industri halal.

Yuksel juga mahu pelabur Malaysia menambah pelaburan mereka di Turkiye dalam semua bidang seperti makanan dan pertanian, pembuatan, tenaga, pengangkutan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit, teknologi dan perkhidmatan maklumat dan komunikasi.

Berdasarkan kedudukan geografi yang strategik, serta pintu masuk ke Eropah, Asia Barat, Asia Tengah dan Afrika Utara, beliau berkata keupayaan pengeluaran Turkiye yang dipertingkatkan dengan infrastruktur yang baik, menarik pelaburan langsung asing dari pelbagai bahagian dunia, termasuk Malaysia.

“Ekonomi kami yang dinamik, yang meningkat lebih daripada tiga kali ganda dari 2002 hingga 2021, menjanjikan aliran peningkatan. Pasaran domestik Turkiye yang teguh dan sektor swasta yang dinamik juga mendorong pelaburan dan eksport.

“Faktor, jalinan hubungan Kesatuan Kastam kami dengan Kesatuan Eropah, yang membenarkan akses terus ke pasaran EU, juga sebagai faktor yang penting,” katanya.

Negara itu juga menawarkan insentif yang lumayan dalam pelbagai cara, seperti potongan dan pengecualian cukai, sokongan latihan dengan agensi kerajaan, Invest Turkiye, membantu pelabur sebelum, semasa dan selepas kemasukan mereka ke negara itu, kata Yuksel. – BERNAMA

- Advertisement -