Seks songsang: Dr Sakinah nafi pelajar IPT paling ramai hidap HIV

Pakar Perubatan Keluarga, Medical Mythbuster Malaysia, Dr Sakinah Sulong.
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Tular tajuk berita di media sosial beberapa hari yang lalu berita yang melaporkan bahawa pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) paling ramai dijangkiti Human Immunodeficiency Virus (HIV) kerana mengamalkan seks songsang. 

- Advertisement -

Namun demikian, tajuk berita yang dipaparkan itu kurang tepat dan telah diperbetulkan oleh Pakar Perubatan Keluarga, Medical Mythbuster Malaysia, Dr Sakinah Sulong, di ruangan Facebook miliknya. 

Beliau berkata, tajuk yang bersesuaian adalah majoriti pesakit yang terdedah dengan HIV adalah golongan muda-mudi yang mana mereka telah mengamalkan seks bebas. 

“Ada juga segelintir pesakit HIV yang masih menuntut di IPT, tetapi lebih ramai pesakit HIV yang dikesan sudah berada di alam pekerjaan,” tegasnya dalam FB berkenaan. 

Lelaki majoriti pengidap HIV/AIDS

Sementara, menurut Ketua Sektor HIV/AIDS dan Hepatitis C Kementerian Kesihatan, Dr Anita Suleiman, data yang diperolehi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa sebanyak 90 peratus pengidap HIV/AIDS di negara ini adalah terdiri daripada golongan lelaki.

Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hingga tahun lalu (2021), menunjukkan  sebanyak 77 peratus golongan muda dari kumpulan umur 20 hingga 39 tahun di negara ini didapati positif HIV. 

Beliau berkata sehingga Disember 2020, seramai 125,878 pesakit HIV/AIDS telah berdaftar di seluruh negara untuk mendapatkan penjagaan dan rawatan dengan pihaknya.

Di Malaysia, KKM telah memaklumkan sejak 2015 hingga kini, sebanyak 68 peratus jangkitan HIV baharu adalah menerusi hubungan homoseksual dan biseksual.

Statistik terbaharu UN AIDS pula telah mendedahkan 4,000 individu dijangkiti HIV setiap hari adalah golongan muda yang berumur 15-24 tahun.

Sementara Statistik Kementerian Kesihatan Sektor HIV/Penyakit Jangkitan Kelamin (STI), Bahagian Kawalan Penyakit 2017 pula menunjukkan 54 peratus pengidap HIV adalah daripada bangsa Melayu yang mengamalkan seks songsang. – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -