Salah guna premis kerajaan kempen parti, terdesak raih sokongan

PAS Kawasan Padang Terap menzahirkan rasa kesal dan dukacita bagi pihak rakyat atas program pelancaran gerak kerja veteran Umno ‘’keluargaku pengundi BN’ anjuran BN Kedah yang telah diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang pada 18 September yang lalu.

Program yang jelas berbentuk politik tersebut tidak wajar diadakan di premis awam kerajaan, menggunakan kemudahan sekolah dan apa yang membimbangkan ialah mungkin warga sekolah terdiri dari para guru dan murid dipaksa untuk menjayakan program tersebut.

Umno harus sedar, mereka pernah jatuh ditolak rakyat pada PRU14, kembali berkuasa adalah hasil sokongan Ahli Parlimen dari kalangan rakan parti PAS, BERSATU dan parti-parti yang lain, apabila kembali berkuasa, perangai buruk memperkudakan warga pendidikan dan penjawat awam untuk kepentingan politik adalah sangat tidak bertanggungjawab dan menjijikkan.

Kami juga difahamkan peserta yang hadir diberikan saguhati wang ringgit dan juga beras untuk memastikan kehadiran yang ramai.

Umno BN Kedah mesti bertanggungjawab di atas salah guna premis awam untuk tujuan politik ini.

Kami meletakkan institusi pendidikan yang melibatkan sekolah kerajaan, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri tidak wajar dijadikan alat untuk mencapai matlamat politik parti.

Premis kerajaan adalah milik kerajaan yang dibina hasil dari wang kerajaan yang datang sebahagian besar pendapatan kerajaan adalah wang hasil cukai yang dikutip oleh pihak kerajaan daripada rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

Adakah Umno Kedah terlalu naif dan miskin, terdesak sehingga tidak ada dewan lain yang boleh disewa? Atau sangat terdesak untuk mendapatkan sokongan kepada parti dari kalangan warga pendidik?

Kami juga kesal banyak program-program kerajaan di peringkat daerah yang dianjurkan oleh pihak kementerian tidak melibatkan ADUN dari parti PAS yang juga sebahagian daripada kerajaan yang memerintah.

PAS Padang Terap sekali lagi menyatakan bantahan keras terhadap Umno Kedah yang jelas dan terang menyalahgunakan sekolah kerajaan untuk tujuan politik.

USTAZ MOHD AZAM ABD AZIZ
Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Terap – HARAKAHDAILY 20/9/2022

Advertisement