Prospek kembali ke Putrajaya menggamit DAP

- Advertisement -

SEDANG kita memberi tumpuan dan perhatian pada pemantapan jentera dan kekuatan akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, pihak musuh juga sedang tekun memantau dan membuat bacaan pada tiap langkah, gerak kerja kita.

Musuh utama kita Pakatan Harapan yang didominasi DAP, menyimpan dendam kesumat terhadap kita. Pada mereka mandat besar yang mereka perolehi dalam PRU14 lalu telah di‘rampas’ oleh kita setelah mereka cuma mampu bertahan 22 bulan di Putrajaya.

Jatuh tersembam akibat perletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7 cukup mereka kesali, dan segala usaha akan mereka gembeling bagi memastikan mereka dapat menebus kembali apa yang ‘dirampas’ dari mereka itu.

Pada PRU ke-14 lalu, bukan rahsia lagi bahawa PH menang, pertama kerana undi Melayu Islam berpecah tiga dan keduanya kerana undi bukan-Melayu ‘solid’ hampir melebihi 90 peratus cenderung pada mereka lantaran keyakinan terhadap kemampuan DAP.

Mereka berjaya berkuasa apabila menabur janji-janji bulan dan bintang pada rakyat yang ketika itu sedang berhadapan dengan ketidaktentuan akibat pelbagai tekanan hidup yang membebankan.

Sejurus PH tumbang, BN, PAS dan BERSATU selain GPS telah membentuk kerajaan baru mulanya di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kemudiannya hingga kini di bawah Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. 

Sepanjang pertukaran kerajaan itu. ramai menjangkakan kekuatan politik kerajaan yang ada semakin mantap dan kukuh bagi menghadapi PRU ke-15 dan memastikan PH tidak kembali berkuasa.

Itulah yang rakyat harapkan. Namun demikian apa yang berlaku hari ini tidak menunjuk ke arah itu. Kita seakan berbalah sesama sendiri dan sama ada disedari ataupun tidak sedang membina pentas yang sama sebagaimana PRU14 dahulu. 

Kiranya pihak yang memegang kuasa hari ini khasnya BN, BERSATU dan PAS tidak dapat bermuafakat, bermakna mereka akan bertanding sesama sendiri.

Apabila keadaan ini berlaku, kita sebenarnya membuka pintu untuk diulangi senario PRU14 dahulu. Sekali lagi kita akan memaksa undi Melayu Islam berpecah tiga sebagaimana pada PRU 2018. Dan jika ini berlaku yang akan menangguk di air keruh sudah pastilah adalah PH.

Awas, portal Cina, Oriental Daily baru-baru ini melaporkan bahawa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng membayangkan bahawa potensi untuk PH kembali berkuasa adalah besar dalam PRU ke-15 ini. Apa faktornya? 

Kerana menurut Lim, berdasarkan perkembangan politik semasa, undi Melayu dijangkakan akan terpecah tiga sekali lagi.

Oleh itu beliau merayu kepada para penyokong PH agar jangan lagi lesu tetapi sebaliknya keluar mengundi beramai-ramai kerana prospek untuk PH yang didominasi DAP menguasai kembali Putrajaya adalah besar, tambahan katanya dengan lulusnya RUU Anti Lompat Parti, senario PRU15 nanti akan jauh berbeza.

Lim nampak kegagalan permuafakatan antara Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional jelas sudah membayangkan yang masing-masing akan bersaing sesama sendiri dalam PRU ke-15 nanti. Sebab hakikatnya jika umat Melayu Islam boleh bersatu mendukung permuafakatan ummah, yang akan menanggung rugi besar adalah PH, kerana ketika itu hampir keseluruhan kerusi majoriti Melayu termasuklah kerusi campuran akan dikuasai blok ini. 

PH akan menggigit jari cuma bertahan di kerusi-kerusi majoriti bukan-Melayu khasnya melalui DAP itupun belum tentu menyeluruh. Beberapa siri PRK atas kerjasama Muafakat Nasional adalah bukti nyata di mana kuasa politik Melayu apabila bersatu, yang menjadi mangsa adalah PH termasuklah DAP sebagaimana berlaku di siri-siri PRK antaranya Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan lain-lain.

Justeru apabila melihat Penyatuan Ummah itu gagal, Lim dan partinyalah yang paling gembira, kemungkinan kembali berkuasa di Putrajaya cukup cerah buat mereka. Kerana itu secara terbuka Lim merayu agar pengundi-pengundi PH dahulu agar keluar beramai-ramai mengundi kali ini kerana mereka punya prospek untuk kembali berkuasa.

Malah beberapa hari sebelum kenyataan Lim itu, pakar strategi DAP Liew Chin Tong juga dipetik sebagai berkata bahawa PH cuma perlu menang 80 dari 165 kerusi Parlimen di Semenanjung untuk kembali berkuasa di Putrajaya. 

Liew menjangkakan baki sokongan buat PH akan datang dari sekutunya dari Sabah dan Sarawak. 

Kalau kita perhatikan dalam PRU ke-14 dahulu, PH menang 98 kerusi di Semenanjung dan 33 dari 98 itu adalah sumbangan DAP. Keseluruhannya DAP menang 42 termasuk 3 di Sabah dan 6 di Sarawak.

Sebagaimana Lim, Liew juga diyakini bercakap begitu setelah melihat dan menjangkakan kemungkinan besar permuafakatan politik umat Melayu, sebagimana yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini, tidak akan berlaku.

Persengketaan sesama sendiri terus tajam dan meruncing sehingga kini seakan tiada harapan lagi untuk terbina satu pakatan kerjasama.

Jika kekuatan itu gagal dibina, maka tiadalah tembuk yang akan mampu menjadi batu penghalang ke atas kemaraan PH yang didukung DAP itu.

DAP sedang galak merayu dan mengemis sokongan masyarakat bukan Melayu sebagaimana mereka berjaya kuasai dalam PRU ke-14 lalu. Dengan menguasai Pulau Pinang serta dominan pula di Selangor dan Negeri Sembilan selain punya 42 kerusi di Parlimen, tidak mustahil suara mereka akan mendapat simpati pengundi bukan-Melayu khasnya apabila mereka mendakwa yang mereka akan mampu kembali berkuasa di Putrajaya.

Sementara itu PKR dan PAN akan dikerah memancing saki-baki undi Melayu yang enggan bersama BN atau PN, sasaran mereka satu pertiga dari blok ini. 

Jika ini tercapai dengan dukungan ‘solid’ pengundi bukan-Melayu, serta sekurang-kurangnya sepertiga dari undi Melayu, bersedialah kita untuk memberi laluan buat kaduk untuk kembali naik junjung sebagaimana berlaku dalam PRU ke-14 lalu.

Mahukah atau relakah kita melihat nestapa PRU14 itu berulang kembali? PH dan DAP sudah nampak peluang mereka, kita bagaimana? 

Masih adakah harapan buat umat Melayu Islam bangkit bersatu atau sudahklah kita sampai ke peringkat berpatah arang dan berkerat rotan. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian, air mata darah pun tidak bernilai lagi.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -