Polis Sosial Masyarakat

- Advertisement -

UNDANG-undang larang hisap rokok di kedai sudah pun ada. Masalahnya sekarang adalah penguatkuasaan yang amat terhad. Bayangkan satu Pejabat Kesihatan hanya 10-15 orang sahaja pegawai yang diberi kuasa untuk saman orang hisap rokok di premis awam.

Nak sediakan lebih pegawai (Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran atau Inspektor Kesihatan) tak boleh, sebab itulah unit yang khusus di Pejabat Kesihatan untuk membuat pemeriksaan. Perjawatan juga terhad.

Mereka akan melaksanakan penguatkuasaan apa saja kesalahan yang termaktub di dalam Akta Kawalan Tembakau 2004 dan beberapa penguatkuasaan undang-undang lain seperti Akta makanan 1983. 

Sedangkan jumlah premis atau tempat awam yang terdapat di satu daerah banyak, melebihi 1,000. Amat tidak wajar dan kesian bagi pegawai yang diberi kuasa itu bekerja siang malam tanpa diberi ruang kepada mereka untuk urus diri dan keluarga. Mereka juga ada kehidupan. 

Andailah pemerhatian umum mendapati bahawa majoriti kedai ataupun kawasan awam itu ramai yang merokok hampir 70-80 peratus, tidak terjangkau oleh mereka untuk pergi kepada semua premis berkenaan. Tiap-tiap hari dan tiap-tiap malam pula itu. 

Bila masa pula untuk masuk pejabat untuk buat laporan dan kertas pendakwaan? Mereka juga menjadi saksi kepada kes-kes mahkamah yang telah pun dibuat penguatkuasaan sebelumnya.

Walaupun mungkin aduan awam boleh dibuat melalui aplikasi ataupun pesanan ringkas kepada pegawai yang diberi tugas, namun ketergesaan untuk membuat tindakan itu mungkin terbatas akibat dari kesibukan seperti yang dinyatakan tadi. 

Justeru, di sinilah memerlukan satu tanggungjawab sosial bagi setiap individu supaya tidak merokok di tempat-tempat yang dilarang dan juga menjadi tanggungjawab sosial bagi setiap anggota masyarakat untuk menegur perokok yang melanggar undang-undang. 

Dengan kaedah menjadi ‘Polis Sosial’ ini akan membentuk satu budaya dalam masyarakat kita bahawa kita bertanggungjawab menjadikan negara kita bebas asap rokok dan vape.

Adakah kita semua sanggup untuk menjadi polis sosial ini?

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 20/9/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -