Pemangku PM Thailand lawat tapak projek jambatan baharu

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG: Pemangku Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan, mengadakan lawatan ke tapak projek jambatan baharu yang bakal dibina berdekatan Bandar Sungai Golok di sini, semalam.

Jambatan itu akan menghubungkan Malaysia dan Thailand bagi mengatasi kesesakan jambatan sedia ada sekarang.

- Advertisement -

Prawit yang diiringi beberapa menteri Thailand tiba pada jam 5 petang, turut melawat Jambatan Muhibbah sedia ada sebelum meluangkan masa mengikuti taklimat berkaitan projek jambatan baharu berkenaan.

Kehadiran Prawit yang berada selama 20 minit di jambatan berkenaan turut mendapat liputan beberapa media Thailand.

Media massa sebelum ini melaporkan kerajaan Malaysia meluluskan pembesaran jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok.

Bagaimanapun, peruntukan belum dimuktamadkan kedua-dua pihak memandangkan ia masih lagi dalam perbincangan antara kedua-dua negara.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed, dilapor berkata beberapa pertemuan dengan kerajaan Thailand diadakan kerana memerlukan persetujuan kedua-dua negara.

Ia juga membabitkan reka bentuk, panjang dan lebar yang belum lagi dimuktamadkan. Difahamkan projek tersebut melibatkan kos lebih RM130 juta.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini turut mengumumkan kerajaan meluluskan projek tersebut serta projek pembinaan jambatan ketiga menghubungkan Takbai dan Pengkalan Kubor di Tumpat. – HARAKAHDAILY 20/9/22

- Advertisement -