Mengapa PH tidak laporkan pemberi rasuah?

- Advertisement -

PH begitu terkesan dengan artikel yang ditulis oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, bahawa ramai dari kalangan golongan pemberi rasuah adalah bukan-Bumiputera. Mereka telah membuat laporan polis di seluruh negara mendesak supaya dilakukan siasatan terhadap Presiden PAS. Mengapakah PH begitu terkesan dengan artikel tersebut sehingga cuba memanipulasikan sentimen perkauman apabila artikel tersebut kaitkan golongan pemberi rasuah dengan golongan Bukan-Bumiputera?

PAS dan parti-parti Melayu-Islam yang lain tidak pernah memanipulasikan sentimen perkauman apabila pimpinan-pimpinan PH mengaitkan kes-kes rasuah dengan kaum Melayu. Memang benar, korupsi ini adalah isu merentasi kaum. Bagaimanapun sebelum ini, kaum Melayu terutama kalangan pimpinan politik dan penjawat awam sering menjadi fokus serangan PH apabila timbul isu-isu penerimaan rasuah. Tulisan Presiden PAS sebaliknya, mengajak semua pihak mengalih fokus kepada golongan pemberi rasuah pula.

Pada 2 Mac 2022, portal berita mesra PAN, Malaysiadateline, membuat tajuk berita “Skandal Rasuah Terbesar Di Dunia, Tiga Perempuan Melayu Terlibat”. Portal tersebut memetik ceramah Presiden PAN dalam Ceramah Mega PH di PRN Johor, “paling memalukan dunia sekarang ini, yang terlibat itu tiga perempuan Melayu”. Presiden PAN menyebut lagi, “orang Melayu bukan terkenal seperti Hannah Yeoh yang mendapat anugerah di peringkat antarabangsa, tetapi terkenal kerana rasuah”.

Mengapa ahli-ahli PH tidak menegur Presiden PAN yang cuba mengaitkan amalan rasuah ini dengan kaum Melayu? Mengapa mereka tidak membuat laporan polis di seluruh negara, ucapan Presiden PAN ada unsur hasutan yang cuba menghubungkan amalan rasuah dengan kaum Melayu? Jika menggunakan logik yang sama, ucapan Presiden PAN tersebut lebih wajar ditanggapi berunsur hasutan kerana bukan sahaja mengaitkan amalan rasuah dengan kaum, tetapi juga amalan rasuah dengan gender.

Dua hari yang lepas sebuah portal berita, Malaysianow, melaporkan pula berita ‘Tommy Thomas Bidas ‘Kerajaan Melayu’ Gagal’. Portal tersebut melaporkan Thomas menyebut ‘biar betul! mereka buat kerja yang begitu buruk dalam pentadbiran’. Bekas Peguam Negara itu juga dilaporkan oleh portal berita tersebut berkata, kedua-dua kerajaan ‘sememangnya terpalit dalam aktiviti rasuah’. Sekiranya laporan itu tepat, bukankah bekas Peguam Negara yang mesra PH itu cuba mengaitkan amalan rasuah dengan kaum Melayu?

Jelas sekali PH cuba mengaburi mata rakyat untuk menyembunyikan hakikat sebenar, bahawa golongan pemberi rasuah adalah sebahagian besar punca wabak korupsi di negara ini. Kelihatannya, PH mahu supaya perihal golongan pemberi rasuah ini tidak dihebah-hebahkan sebagaimana mereka selalu menggembar-gemburkan perihal golongan penerima rasuah. Mengapa mereka bersikap sedemikian? Adakah mereka mahu melindungi golongan itu? Pimpinan-pimpinan PH perlu menjawab persoalan ini dengan jujur?

Semasa PH memerintah, beberapa kali pimpinan mereka tidak melaporkan kepada SPRM terdapat golongan pemberi rasuah mahu melakukan sogokan. Pada 5 Oktober 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi PH ketika itu, pernah menghebahkan ada satu syarikat mahu menderma RM100 juta kepada Tabung Harapan tetapi ia ditolak kerana syarikat tersebut mempunyai hajat tertentu. Sepatutnya Dr Mahathir atau pimpinan kerajaan dari PH yang lain melaporkan cubaan sogokan tersebut kepada SPRM.

Kewujudan tabung-tabung seumpama Tabung Harapan yang telah diwujudkan oleh PH, dibimbangi digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mendapat habuan daripada projek-projek kerajaan. Terdapat juga pihak-pihak tertentu menggunakan tabung-tabung seumpama itu untuk melakukan kegiatan penggubahan wang haram. Oleh sebab itu, jika apa yang disebutkan oleh Dr Mahathir itu benar, sepatutnya satu laporan kepada SPRM dibuat bagi memastikan pengurusan tabung itu benar-benar telus.

Satu lagi kes yang hampir sama, pada 9 Februari 2021, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahudin Ayub, melaporkan beliau pernah ditawarkan percutian mewah di Eropah oleh pemilik syarikat kartel daging. Menurut Salahudin, ‘mereka menawarkan pakej percutian mewah kepada saya dan keluarga. Perjalanan berbayar untuk Eropah tetapi saya terpaksa menolak’. Sekali lagi timbul persoalan, mengapa beliau tidak melaporkan kepada SPRM mengenai pihak yang dipercayai golongan pemberi rasuah?

Sekiranya PH benar-benar serius untuk membasmi korupsi, mereka seharusnya tegas terhadap golongan pemberi rasuah. Mereka perlu melaporkan kepada SPRM sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang mahu melakukan sogokan kepada mereka semasa menjadi kerajaan tempohari. Bagaimanapun, kesungguhan mereka sebagai kerajaan ketika itu untuk menghapuskan golongan pemberi rasuah tidak dapat dilihat. Lebih malang lagi, apabila Presiden PAS mengajak supaya diperangi golongan pemberi rasuah, PH cuba mengalihkannya kepada sentimen perkauman.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -