Maahad sewa bas angkut pelajar tahfiz ikuti kelas jahitan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Seramai 60 pelajar Maahad Tahfiz al Quran Darul Saadah (MTAQDS) terpaksa menempuh perjalanan sejauh 35 kilometer bagi mengikuti kelas jahitan dan masakan.

Mereka merupakan pelajar tingkatan empat sekolah terbabit yang ditempatkan di cawangan MTAQDS di Kampung Jelor Pasir Puteh sejak sesi sekolah awal tahun ini.

- Advertisement -

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MTAQDS Mohamad Nuri Mat Yaakob berkata, pihak pengurusan sekolah menyewa sebuah bas sebanyak RM400 seminggu bagi menanggung kos perjalanan ketika ada kelas
vokasional di MTAQDS Beta Hulu.

Katanya MTAQDS di Beta Hulu hanya menampung pelajar sehingga tingkat tiga sahaja, manakala tingkatan empat dan lima dipindahkan ke cawangan sementara di Pasir Puteh.

“Jadi aktiviti pelajar kelas jahitan dan masakan diadakan di MTAQDS Beta Hulu. Apabila ada aktviti masakan pelajar diangkut dengan bas yang disewa.

“Pelajar akan datang seminggu sekali sebab MTAQDS Hulu Beta ketika ada kelas tahfiz dan vokasional,” katanya yang juga Pengarah Program Kutipan Sumbangan bagi Pembelian Van sekolah terbabit.

Sehubungan itu katanya MTAQDS melancarkan kutipan derma pembelian sebuah van bernilai RM150,000 yang boleh memuatkan sehingga 15 pelajar.

Menurutnya kutipan dana tersebut dilancar anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan sempena mesyuarat agung PIBG 17 September lalu.

“Kami berharap sesi persekolahan baru tahun hadapan van terbabit dapat disediakan bagi kegunaan pelajar dan warga pendidik,” katanya.

Oleh itu beliau mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang boleh disalur melalu akaun Bank Muamalat, 03030001165719 atau hubunginya di talian 013 995 2598. – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -