Lapan noktah dalam isu konsert di Kelantan

- Advertisement -

APABILA Kerajaan Kelantan menyekat konsert dan sebarang hiburan yang bertentangan dengan syariat. Maka dituduhnya PAS jumud dan PAS ekstrem. 

Apabila Kerajaan Kelantan benarkan hiburan dengan syarat-syarat tertentu berdasarkan Enakmen Hiburan Kelantan 1998. Maka dituduhnya pula PAS hilang jati diri. 

Tak tahu gapo nok.

Pertama, kita semua jelas bahawa PAS tidak berkompromi dengan hiburan dan konsert yang melampau serta melanggari batas syariah.

Ini jelas dengan penentangan dan kenyataan-kenyataan KP PAS Pusat sebelum ini. 

Kedua, kita semua juga jelas bahawa PAS tidak anti-hiburan. Bahkan, PAS mahu meletakkan hiburan itu dianjurkan dengan tidak melanggar syariat. 

Maka dibuat enakmen dan peraturan. Mahu berhibur atau berkonsert, silakan. Tapi perlu diikuti syarat-syarat yang diberikan. 

Ketiga, saya tak risau jika konsert atau hiburan itu dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan atau agensinya. Aturannya pasti baik, insya-Allah

Namun, kita risau apabila ianya dianjurkan oleh pihak lain. Pun begitu, jika penganjur sudah bersetuju mengikuti syarat dan peraturannya. Maka tiada alasan untuk Kerajaan Kelantan menyekat. 

Keempat
, berkenaan isu yang terjadi dalam konsert Riuh Sokmo di Ketereh anjuran Kementerian. Semua syarat dan peraturan telah setuju untuk diikuti dan kelihatan secara kasar ianya diikuti.

Jika ada yang dilalaikan oleh penganjur. Maka saranan daripada KP PAS Kelantan untuk mengambil tindakan tegas kepada penganjur adalah tindakan yang tepat. 

Kelima, di Ketereh ini kita agak terkejut dengan gelagat penonton. Ya, walaupun ianya sudah diasingkan dan mengikut peraturannya, gelagat anak muda terkinja-kinja itu merosakkan syarat dan kaedah yang baik.

Kita yang melihat video itu pun tepuk kepala. Sedih dan risau. Kelompongan ini yang perlu difikirkan untuk dibaiki dan ditambahbaik. 

Keenam, selain pendekatan di atas, untuk tak payah pening kepada kita balik pada sebelum ini, angkara penonton Konsert Riuh Sokmo maka selepas ini tiada lagi konsert di Kelantan.

Benda boleh dibuat dan sebelum ini telah pun disekat di Kelantan. Yang mana yang dimahukan? 

Ketujuh
, puak-puak PH tak perlu berjoget-joget di atas isu ini. Di negeri kalian, bukan sahaja konsert tiada garis panduan, malah nak hapuskan disko dan judi berlesen pun malu-malu anak kucing kurap.

Kelapan, isu ini nampaknya memberikan kesan positif kepada PAS dan Kelantan sebenarnya. Memperlihatkan PAS tidak anti hiburan dan amat serius mengawal hiburan datang ke Serambi Makkah. 

Adapun kelemahan dan kekurangan yang diluar kawalan Kerajaan, seperti tindakan penonton ini perlu dilakukan kajian untuk elakkan hal ini terjadi lagi. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -