Filem Mat Kilau untuk golongan IQ rendah?

- Advertisement -

BEGITULAH antara komen penonton terhadap filem Mat Kilau setelah disiarkan dalam aplikasi Netflix. Dilaporkan banyak komen negatif terhadap cerita itu, yang sebelumnya telah menyaksikan fenomena luar biasa di pawagam-pawagam dengan jumlah kutipan sebanyak RM97 juta. Satu rekod yang sangat-sangat menakjubkan bagi sebuah filem Melayu. Mari kita lihat sedikit sebanyak, kenapa kritikan sebegini timbul. Saya tidak ingin mengheret tulisan ini dalam persoalan teknikal, tetapi isi filem itu.

Pengkritik berkata, kritik mereka kepada filem Mat Kilau, atas nama kebebasan bersuara. Namun apabila dikritik orang atas kritikan mereka itu kerana ada dilihat melampau atau rekaan, dipanggil pula jenis yang mengkritik mereka itu, tidak boleh menerima kritikan. Kan sudah jadi macam lagu Bangau oh Bangau layaknya. Sebagai satu penyelesaian, biarlah orang yang tidak suka mengkritik, dan orang suka itu memuji.

Kita imbau dari Yusof Haslam bermula pada awal 90-an, mula mengorak langkah dengan filem arahan beliau yang mendapat sambutan ‘box office’. Bayangan Maut lakonannya bersama Norkumalasari dan Ella mencapai kutipan yang menggiurkan semua penerbit filem dengan jumlah tujuh angka. Kemudian beliau meneruskan cerita lain yang hampir sama iaitu kisah percintaan terhalang sebagai tema utama.

Ia dapat kita saksikan dalam Filem Sembilu, Maria Mariana 1 dan 2. Stereotype kata orang. Jalan cerita hampir sama. Tetapi tetaplah beliau berjaya menaikkan tiket jualannya, malah dengan lebih berganda-ganda lagi. Pelakon yang beliau ambil, menepati citarasa penonton yang waktu itu amat menggilai Erra dan Awie, termasuk juga Ziana Zain beserta lagu-lagu hits mereka. Strategi beliau mengena. Pun begitu, jika pelakon-pelakon ini berlakon dalam filem penerbit lain, tidak pula meletup. Ketika itu bagaimana pakaian pelakon, langsung tiada isu. Semua menerimanya.

Waktu itu, seorang pengkritik tegar filem bernama Mansor Putih, sering menggunakan akhbar tempatan bagi mengkritik filem Yusof Haslam. Beliau diketahui sebagai orang filem, kenalan baik Nasir Jani, tetapi tiada satupun filemnya yang menonjol, sepertinya bermusuh dengan Yusof. Berbagai kritikan negatif yang diberikan dan akhirnya Yusof mengambil keputusan untuk melupakan Mansor dan mengambil pendekatan ‘jalan terus’. Dan Yusof terus menjadi jutawan dengan cerita yang hampir sama itu tadi.

Anaknya Syamsul, mengambil alih pula kerja pembikinan filem. Semua jalan cerita awalnya berlegar mengenai gangster. Babak pergaduhan dalam filem-filemnya, tidak terlalu jauh bezanya. Fokus pergaduhan Aaron Aziz berlegar kepada kawasan kaki, bagi memberikan kesan yang lebih baik. Tetapi kerana filem ganas, jarang-jarang dibuat, maka ia mendapat sambutan. Ia digemari oleh penonton. Maknanya, yang paling utama ialah filem Yusof anak beranak, memenuhi kehendak pasaran. Walau terlalu banyak unsur negatif, tiada kritikan menggila, semua gembira menontonnya.

Beralih pula kepada filem seperti Munafik yang juga mendapat sambutan luar biasa. Filem ini juga ada babak bersyarah berkenaan agama. Kejahatan orang berilmu agama yang salah jalannya. Cara pergaduhannya juga dilihat agak melampaui logik dengan keadaan yang boleh diangkat, dilempar menggunakan ilmu hitam. Tetapi penonton tidak memandang semua itu alasan bagi mengkritik, membunuh seni lakonan dalam filem itu. Malah mereka memuji-muji mesej yang dibawakan, walaupun skripnya juga seumpama berceramah.

Dan kini Syamsul muncul dengan filem Mat Kilau yang kita tahu ia tidak memenuhi 100 peratus kehendak sejarah, tidak sempurna dalam banyak perkara, tetapi ia menaikkan semangat anak bangsa berkenaan sikap mempertahankan tanah air daripada dijajah. Ia tiba-tiba seperti menjadi gelombang kepada kesedaran bagi umat Melayu. Sehinggakan kepahlawanan Mat Kilau turut dikritik oleh Dr Ramasamy dari DAP yang tiada kaitan dengan perjalanan cerita itu. Kenapa? Apa kaitan beliau dengan kisah Mat Kilau?

Malah ada Cina juga turut bersungguh mengeluarkan pendapat negatif mereka. Mengapa? Adakah kerana ia filem arahan Syamsul? Jika benar, kenapa cerita seperti KL Menjerit dahulu yang banyak menonjolkan sisi gelap kaum cina sebagai pembunuh, penjenayah dengan bahasa makian yang tiada adab, tidak pula mereka mengkritik Syamsul? Takkanlah kerana satu watak Cina dalam Mat Kilau yang digambarkan sebagai pengkhianat, terus mereka mengamuk marah? Apa, semua orang Cina tulus suci ke?

Satu sahaja sebab utamanya mereka menjadi marah dan cuba memusnahkan reputasi Mat Kilau ia adalah kerana Mat Kilau secara tidak sengaja, berjaya menyatukan Melayu Islam. Ia tidak dirancang, tetapi ia berlaku dengan izin Allah. Majoriti Melayu yang insaf, mahu kembali menyalakan api kebencian penjajah. Mahu bersatu. Inilah yang menakutkan musuh Melayu Islam.

Harus juga difahami genre filem akan mengikut kehendak semasa penonton. Jika genre filem mistik mendapat sambutan, maka nanti akan timbul dengan banyak sekali filem-filem yang sama genrenya. Dan jika filem Mat Kilautidak dihalang, dihina atau dihapuskan genrenya, nanti akan timbul pula filem seperti perjuangan Datuk Maharajalela di Pasir Salak yang juga bekas seorang mufti. Akan kebanjiranlah Malaysia dengan cerita tentang perjuangan Melayu Islam, dengan pelakonnya menjaga batas aurat.

Maka makin kuatlah semangat Islam dan bangsa yang mungkin boleh menyebabkan ada pihak yang akan kerugian. Apatah lagi ia semakin menghampiri PRU, semangat itu membara dalam jiwa, menyukarkan usaha bagi mengajak Melayu berpecah sebagaimana British lakukan dahulu. Anda boleh menilai sendiri hujah saya dengan bukti ketakutan yang amat nyata oleh mereka terhadap filem bagi yang IQ rendah ini.

Bagi mereka, sebuah filem yang mereka anggap sebagai seni, hiburan, jika ada adegan seks, ganas, kelakar sehingga melampau, konon sesuai bagi penonton ber’IQ’ tinggi. Tetapi sesebuah filem itu terus dilabel menjadi ancaman, memperbodohkan nilai genius penonton jika ada unsur keagamaan yang menginsafkan.

Mat Kilau bukan filem Islamisasi sepenuhnya, tetapi berkebetulan ia membangkitkan kesedaran kita sebagai Melayu Islam dan dibenci oleh golongan yang mahu kita berpecah. Itu sahaja. Jalan terus Syamsul, pedulikan mereka.

MOHD NASIR ABDULLAH
20 September 2022 – HARAKAHDAILY 20/9/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -