Elak ‘wartawan jadian’ sebar kebencian, fitnah

Oleh NOR HAZWANI NOH

PUTRAJAYA: Sisi hitam perkembangan pesat teknologi maklumat moden telah melahirkan golongan ‘wartawan jadian’ atau ‘wartawan segera’ dari kalangan orang ramai atau dikenali dengan istilah netizen, yang dengan rakus memanipulasi platform media sosial untuk menyebarkan fitnah dan mencetuskan elemen kebencian.

Advertisement

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kebelakangan ini fitnah semakin kerap berlaku, apatah lagi dengan suasana cuaca politik sekarang.

“Sekarang sesiapa sahaja bebas menjadi wartawan. Mencari dan melaporkan berita. Tulis di Facebook (FB) dan media sosial sahaja. Kemudian viral. Lebih parah apabila etika kewartawanan langsung tidak dipedulikan kerana mahu mensensasikan sesuatu isu.

“Begitulah juga dengan fitnah dalam bentuk penulisan dan posting dengan perkongsian maklumat yang tidak tepat serta disulami pula dengan fitnah yang memarakkan api kebencian dan kemarahan dalam kalangan masyarakat.”

“Menyerang peribadi seseorang menjadi satu perkara yang normal. Melaga-lagakan beberapa pihak juga sehingga berlaku pergaduhan. Maka berlakulah kutuk mengutuk, keji mengeji antara satu sama lain disebabkan perkara-perkara yang remeh sehingga boleh menimbulkan perselisihan, dan menjatuhkan reputasi seseorang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Hentikan Fitnah Di Media Sosial di Putrajaya. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Hakimah Mohd Yusof.

Menurut Idris, kempen berkenaan digerakkan untuk mengajak masyarakat kembali kepada ajaran agama dan nilai-nilai murni.

“Pertama hentikan berita-berita dan kandungan-kandungan berunsur fitnah. Kedua, semua pihak perlu tabayyun atau menyelidik terlebih dahulu setiap berita yang diterima, Ini dua perkara penting. 

“Kita perlu lebih bertanggungjawab. Fitnah mesti dihentikan di semua platform kerana ia adalah satu dosa. Ini adalah kehendak agama kepada kita orang Islam,” katanya.

Oleh itu, ujar beliau, pentingnya kerjasama padu warga media dan agensi dengan memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada dalam membentuk nilai jati diri, akhlak dan pemikiran masyarakat hari ini.

“Dakwah dalam dunia siber juga  perlu digerakkan dengan lebih terancang dan dinamik. Masyarakat hari ini tidak boleh berpisah dengan teknologi komunikasi. 

“Kita semua berperanan sebagai pendakwah yang perlu berada secara aktif dalam persekitaran dunia siber untuk membimbing masyarakat agar sentiasa mengutamakan dan mengamalkan nilai-nilai agama dalam kehidupan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang sejahtera.

“Pada hari ini, saya bersama JAKIM, dan tuan-tuan perlu terus bekerja bersama-sama mendidik masyarakat. Tanpa kerjasama semua pihak usaha sebegini tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Beberapa selebriti turut menjayakan kempen berkenaan termasuk Shahmira Ahmad atau lebih dikenali Shuib Sepahtu; pengarah dan pelakon, M. Subash Abdullah, pengacara program bicarawara isu agama popular, Forum Perdana Ehwal Islam, Mohd. Hariri Mohd. Daud; dan mualaf Muhammad Adam Muhibullah Abdullah yang menjuarai sebuah program televisyen pada 2018.

Turut serta ialah pempengaruh terkenal kandungan Tik-Tok, Ryan Bakery dan jurubahasa isyarat yang juga pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Syar Meeze Mohd. Rashid. – HARAKAHDAILY 20/9/2022