Betul ke selepas era Tok Guru, konsert dihalalkan di Kelantan?

- Advertisement -

SEHARI dua ini riuh rendah dunia maya apabila Konsert ‘Riuh Sokmo’ Bersama Celcom di Stadium Mini Ketereh menampilkan artis tersohor tanah air, kumpulan Wings dua hari lepas. 

- Advertisement -

Program itu anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (Menterinya ialah Ahli Parlimen Umno Ketereh), MyCreative Venture Sdn. Bhd. (MyCreative Group) dengan kerjasama Celcom Axiata Bhd.

Pelbagai reaksi netizen dan pengkritik politik mengambil kesempatan menghentam kerajaan PAS Kelantan seolah-olah program tersebut anjuran kerajaan PAS. 

Tidak ketinggalan juga yang mengatakan PAS sekarang tidak seperti PAS zaman Tok Guru Nik Abdul Aziz yang mengharamkan konsert di Kelantan. Benarkah begitu? 

Cuba kita mencari jawapan kepada persoalan dan tohmahan yang ditimbulkan.

1. Zaman Tok Guru dulu mana ada konsert?

Semasa Tok Guru menjadi Menteri Besar dari tahun 1990 sehingga 2014, kerajaan Kelantan telah mengadakan dan membenarkan beberapa konsert yang melibatkan artis tersohor tanah air. 

Antara konsert terbesar yang diadakan di Padang Perdana Kota Bharu ialah Konsert Mawi dan M Nasir yang diadakan pada 29 November 2005. Seterusnya pada April 2009, Amy Search mengadakan persembahan dalam sambutan Jubli Perak Pemuda PAS Kelantan yang turut dihadiri Tok Guru.

2. Dulu haramkan konsert, lepas Tok Guru tak ada dah halal?

Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Kelantan diluluskan pada tahun 1998. Tujuan enakmen itu untuk mengawal sebarang aktiviti berbentuk hiburan di Kelantan agar menepati kehendak Islam. 

Peraturan itu diperkuatkan lagi dengan Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 bagi menyatakan dengan jelas perkara-perkara yang dibenarkan dan dilarang dalam semua bentuk hiburan yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan. 

Ini dengan jelas menggambarkan Kelantan tidak pernah menghalang untuk diadakan konsert, tetapi ia perlu mematuhi peraturan-peraturan yang digariskan, antaranya tidak dibenarkan persembahan artis wanita serta kawalan kepada penonton yang hadir. 

3. Konsert anjuran Kerajaan PAS?

Tidak. Konsert ini adalah anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama syarikat swasta. Pihak kerajaan hanya meluluskan permohonan untuk mengadakan konsert berdasarkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 serta Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003. 

Menjadi tanggungjawab penganjur untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Sekiranya berlaku perlanggaran syarat, maka penganjur boleh dikenakan tindakan.

4. Persoalan yang perlu kita jawab bersama

i. Adakah sebarang konsert melibatkan artis perlu diharamkan di bumi Kelantan? Apa alternatif yang perlu disediakan untuk rakyat yang dahagakan hiburan santai?

ii. Wajarkan Kerajaan PAS Kelantan membenarkan persembahan artis sebagaimana Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 dan Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003?

iii. Apakah kelemahan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 serta Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 yang perlu diperbaiki?

#Anak Kelate yang bermukim di Lembah Klang

Zamakhshari Muhammad (Media Point Kelantan) – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -