Banjir di Pakistan: Dunia perlu bertanggungjawab

- Advertisement -

BANJIR besar yang melanda Pakistan baru-baru ini telah mengorbankan lebih 1,300 nyawa dan memberi kesan kepada 3.3 juta rakyat negara tersebut. Setengah juta penduduk dilaporkan telah kehilangan tempat tinggal. Bantuan-bantuan dari seluruh dunia telah tiba tetapi Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu, Antonio Guterres, berkata dunia perlu melakukan lebih dari itu. Menurut Pakistan, kemusnahan yang berlaku adalah dianggarkan bernilai 10 bilion USD atau melebihi RM45 bilion. Satu pertiga dari negara tersebut telah ditenggelami air.

Memang tepat sekali kenyataan Guiteres kerana menurut pakar-pakar banjir ini adalah akibat perubahan iklim (climate change) walhal sumbangan Pakistan terhadap perubahan iklim adalah begitu kecil. Walau bagaimanapun mereka terpaksa menanggung beban dari fenomena tersebut. Pakistan hanya bertanggungjawab melepaskan 0.4 peratus dari gas-gas rumah hijau di dunia. Sementara negara-negara seperti Amerika Syarikat (21.5 peratus), China (16.5 peratus) dan Kesatuan Eropah atau EU (15 peratus) melepaskan lebih banyak. Sebenarnya 7 negara iaitu China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Russia, India, Jepun dan Brazil melepaskan dua pertiga dari gas-gas rumah hijau dunia. Pelepasan ini bertanggungjawab di atas berlakunya perubahan iklim. Tetapi Pakistan yang terpaksa menanggung kesan tindakan-tindakan tersebut.

Tetapi bagaimana perubahan iklim boleh mengakibatkan banjir itu? Pakar-pakar berpandangan malapetaka ini bermula dengan gelombang haba (heatwave) luar biasa yang bermula pada bulan April dan Mei. Suhu di kebanyakan tempat melebihi 40 darjah celsius untuk jangka masa yang panjang. Kawasan yang paling panas di dunia ketika itu adalah di Pakistan. Udara yang panas dapat menampung lebih banyak lembapan (moisture) justeru itu suhu yang panas ini akan menghasilkan paras hujan yang melebihi paras biasa pada bulan Julai hingga September. Suhu panas yang luar biasa telah menghasilkan paras hujan luar biasa yang merupakan salah satu sebab berlakunya banjir besar ini. Perubahan iklim merupakan punca kepada suhu yang melampau ini.

Selain dari itu, suhu yang panas ini juga mengakibatkan glasier (sungai ais) di pergunungan utara cair dan mengakibatkan pengaliran air yang bertambah ke anak-anak sungai Sungai Indus. Sungai tersebut merupakan sungai utama Pakistan.

Satu laporan menunjukkan aliran air dan lumpur yang laju berlaku di kawasan pergunungan yang mengalir ke Sungai Indus dan ini menunjukkan telah berlaku pencairan ais. Tasik-tasik glasier yang beku sebelum ini justeru dapat menghalang air dari mengalir telah pecah mengakibatkan deruan air yang merbahaya. Perubahan iklim yang mengakibatkan suhu yang meningkat adalah punca kepada pencairan glasier.

Pelepasan gas-gas rumah hijau telah mengakibatkan bumi menjadi lebih panas kerana gas-gas yang terkumpul di atmosfera bertindak sebagai perisai yang memerangkap haba dari matahari di bumi. Gas-gas ini terhasil melalui pembakaran bahan api fosil seperti petroleum, arang batu dan gas asli yang mengandungi peratusan karbon yang tinggi dan telah melepas gas-gas rumah hijau kepada atmosfera. Gas-gas tersebut adalah karbon dioksida (CO2), karbon monoksida (CO), kloroflorokarbon (CFC), metana (CH4) dan nitrogen oksida (NO).

Tanpa gas-gas tersebut haba ini akan terlepas kembali ke angkasa lepas. Walaupun haba ini penting kerana tanpanya suhu dunia akan menjadi begitu sejuk untuk kehidupan namun suhu bumi hari ini adalah 1.1 darjah celsius lebih panas dari sebelum Revolusi Industri. Menurut kajian, pada 2036 bumi akan menjadi 1.6 darjah celsius lebih panas. Fenomena ini dikenali sebagai pemanasan global (global warming) dan bersama perubahan iklim sedang memberi kesan kepada kita semua. Menurut kajian, gelombang haba yang berlaku adalah lebih panjang akibat dari pemanasan global.

Selain dari pencairan glasier di pergunungan Utara Pakistan, fenomena ini telah juga mengakibatkan ais di kutub juga cair. Akibatnya paras air laut (sea level) akan meningkat yang mendedahkan kawasan-kawasan rendah di tepi pantai kepada risiko ditenggelami. Negara-negara kepulauan seperti Kiribati, Tuvalu, Maldives dan Kepulauan Marshall berhadapan dengan risiko ditenggelami oleh paras laut yang meningkat. Di Kepulauan Marshall, 40 peratus dari bangunan-bangunan di ibu negaranya Majuro adalah dalam bahaya. Pelbagai persidangan seperti COP26 telah dianjurkan untuk menghadkan pemanasan ini dengan mengawal pelepasan gas-gas rumah hijau. Jika keadaan berterusan, suhu bumi boleh meningkat 3.5 darjah celsius dalam tahun 2100 dan paras laut akan meningkat 1.3 meter.

Negara-negara kepulauan ini akan menerima padah akibat dari tindakan negara-negara lain terutamanya negara-negara maju. Negara-negara seperti Amerika Syarikat dan China akan turut menerima kesan dari perubahan iklim tetapi mereka memiliki kemampuan untuk melakukan mitigasi-mitigasi bagi menghadapi fenomena ini. Selain dari negara-negara kepulauan, Pakistan adalah satu contoh terkini di mana sebuah negara yang tidak ‘bersalah’ telah menjadi mangsa. Gesaan Guiteres agar dunia membantu Pakistan adalah tepat.

Kita tidak perlu bimbang jika banjir besar atau gelombang haba berlaku di negara-negara EU sahaja tetapi setiap negara di dunia akan berhadapan dengan risiko. Masalah ini adalah masalah global. Walaupun kadar pelepasan gas-gas rumah hijau negara kita adalah rendah namun begitu ia tidak bermakna kita akan terlepas dari kesan perubahan iklim. Perlu satu usaha yang bersungguh-sungguh oleh komuniti antarabangsa. Rakyat dunia perlu diberi kesedaran mengenai bahaya perubahan iklim agar dapat memberi tekanan kepada kerajaan-kerajaan di dunia supaya lebih bertanggungjawab.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelarasan
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -