Bai’ah memelihara integriti

- Advertisement -

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمْۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمًا 

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.”

(Al-Fath: 10)

- Advertisement -

Bai’ah ini bahasa Arab. Maksudnya memberikan pengakuan taat setia. Bai’ah ini diperlukan untuk menjaga kesucian perjuangan ini. Mereka yang memberi bai’ah kepada perjuangan, tidak boleh dengan sewenang-wenangnya bermudah-mudah dengan perjuangan ini. Peristiwa bai’ah ini berlaku beberapa kali pada zaman Nabi S.A.W.

Pada sudut hukum, bai’ah tidak boleh dikaffarah seperti melanggar janji dan melanggar sumpah. Maka mereka yang berbai’ah akan memikul amanah ini selagi mana ia berada di posisi tertentu. Ia melibatkan dosa pahala, amanah dan soal jawab di hadapan Allah kelak. 

Dalam kes mentadbir sesebuah negara, ia bukan kerja sambil lewa dan bermain-main. Maka untuk mengikat seseorang individu bagi melaksanakan tanggungjawab tertentu, bai’ah diperlukan. Dengan bai’ah, seseorang individu akan tertaklif dengan beban, sehingga dia tidak akan bermudah-mudah dalam melaksanakan tanggungjawab.

Kita mengimpikan pemimpin yang berintegriti dalam melaksanakan tugas pemerintahan. Manakala PAS mempunyai satu sistem bagi menjamin setiap individu yang memegang jawatan dalam pemerintahan memahami tanggungjawab ini, dan mereka juga akan diikat dengan bai’ah. Jika bai’ah ini dilanggar, bukan sekadar hukuman dunia bahkan yang melanggar akan menanggung kesusahan yang besar di akhirat kelak.

Sebab tu dalam PAS, jawatan bukan kemuliaan bahkan satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan semula diakhirat kelak. Yang memperoleh jawatan kerana tamak, Allah akan meninggalkannya terkontang-kanting berlumur dengan kegagalan sehingga mendapat kesusahan akhirat, orang yang layak akan dibantu oleh Allah dalam melaksanakan tanggungjawabnya. 

Guru saya pun selalu kata, meminta jawatan dalam PAS itu haram. Tetapi apabila ditaklifkan, maka bekerjalah dengan sepenuh jiwa.

AIREROSHAIRI ROSLAN
Ketua Pemuda PAS Pahang – HARAKAHDAILY 20/9/2022

[modalsurvey id=”4103694271″ style=”flat”]

- Advertisement -