10 soalan, jawapan sekiranya Parlimen dibubar sebelum belanjawan diluluskan

- Advertisement -

Oleh SYAHIR SULAIMAN

Soalan 1: Apakah maksud belanjawan?

Jawapan: Suatu pernyataan anggaran hasil dan perbelanjaan bagi sesuatu tahun yang digunakan sebagai alat perancangan dan pengurusan sumber ekonomi untuk memenuhi keperluan negara dan rakyat.

Soalan 2: Apakah tujuan penyediaan belanjawan tahunan?

Jawapan: (1) Mengenal pasti sumber hasil kerajaan yang datang daripada cukai, bayaran yang dikenakan dan pinjaman, (2) memastikan agihan peruntukan kewangan secara teratur, cekap dan berkesan selaras dengan dasar-dasar ekonomi negara, di samping (3) mengawal peruntukan supaya ianya dibelanjakan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

- Advertisement -

Soalan 3: Apakah asas perundangan yang mewajibkan belanjawan dibentangkan, dan diluluskan?

Jawapan: Menurut Perlembagaan Persekutuan, setiap wang (hasil) yang diperoleh kerajaan dengan apa cara pun hendaklah dimasukkan ke dalam suatu tabung yang dinamakan, Kumpulan Wang Disatukan (Perkara 97).

Adapun setiap perbelanjaan kerajaan adalah dibuat daripada Kumpulan Wang Disatukan, dan hendaklah diluluskan oleh satu undang-undang yang mesti dibuat di Parlimen pada tiap-tiap tahun (Perkara 104). Manakala segala peraturan dan prosedur kewangan kerajaan adalah tertakluk di bawah Akta Tatacara Kewangan (1957).

Soalan 4: Bilakah biasanya belanjawan dibentangkan?

Jawapan: Sidang belanjawan ialah mesyuarat Parlimen yang akhir bagi tiap-tahun (Oktober / November), di mana suatu rang undang-undang perbekalan dan anggaran perbelanjaan hendaklah dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan oleh Parlimen, sebelum permulaan tahun fiskal yang baharu.

Semua negeri di Malaysia akan membentangkan belanjawan negeri selepas pembentangan peringkat Persekutuan, kerana pendapatan di sesebuah negeri turut bergantung kepada peruntukan dan agihan daripada Kerajaan Persekutuan.

Soalan 5: Apakah yang berlaku jika proses mendapatkan kelulusan Parlimen terlewat?

Jawapan: Bagi meluluskan RUU Perbekalan tentulah mengambil masa yang panjang, dan mungkin boleh terlewat daripada tempoh yang ditetapkan. Atas faktor ini, sebelum diluluskan RUU Perbekalan itu, Parlimen buat sementara boleh meluluskan suatu undang-undang untuk membenarkan perbelanjaan kerajaan bagi tempoh sebahagian tahun itu (Perkara 102(a) Perlembagaan).

Perkara ini biasa diistilahkan sebagai ‘belanjawan sementara’ bagi menyediakan peruntukan bagi perkhidmatan-perkhidmatan tertentu untuk masa itu, termasuklah pembayaran gaji penjawat awam, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebajikan dan lain-lain.

Soalan 6: Apakah yang akan berlaku sekiranya kerajaan masih tidak berjaya memperolehi kelulusan belanjawan di Parlimen sehingga 31 Disember?

Jawapan: Secara pentadbiran, situasi ini boleh diistilahkan sebagai ‘government-shutdown’, dan ianya pernah berlaku di Amerika Syarikat pada tahun 1996, 2013 dan 2019 di era Bill Clinton, Barack Obama dan Donald Trump. Namun situasi ini boleh dielakkan di Malaysia melalui Perkara 102(a) Perlembagaan yang membolehkan suatu ‘perbekalan sementara’ diluluskan di Parlimen.

Soalan 7: Adakah Parlimen pernah dibubarkan sebelum belanjawan diluluskan?

Jawapan: Ya, negara pernah menyaksikan pembubaran Parlimen ketika belanjawan sedang dibahaskan pada 10 November 1999, dua minggu selepas Belanjawan 2000 dibentangkan oleh Tun Daim Zainuddin pada 29 Oktober 1999.

Soalan 8: Apakah yang terjadi kepada belanjawan yang telah dibentangkan ketika itu?

Jawapan: Merujuk kepada hansard Parlimen (DR-10111999), Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Almarhum) Tun Mohamed Zahir Ismail dipetik berkata, “Pada fikiran saya, oleh sebab bajet ini belum diluluskan, oleh yang demikian kerajaan baru yang akan dilantik selepas pilihanraya ini akan mengemukakan satu bajet baru untuk kerajaan yang baru itu”.

Soalan 9: Selepas PRU 1999, adakah belanjawan baharu dibawa ke Parlimen?

Jawapan: Pada 20 Disember 1999, Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin telah membentangkan di Parlimen suatu rang undang-undang untuk mendapatkan kebenaran sementara mengikut Perkara 102(a) Perlembagaan, peruntukan berjumlah RM18.4 bilion yang dianggarkan mustahak bagi perkhidmatan kerajaan untuk tempoh 6 bulan yang pertama tahun 2000.

Manakala pada 29 Februari 2000, Tun Daim Zainuddin sekali lagi membentangkan sepenuhnya ‘Belanjawan 2000’ berjumlah RM24.6 bilion, sekali gus membatalkan Akta Perbekalan yang diluluskan pada Disember 1999.

Soalan 10: Apakah implikasi sekiranya Parlimen dibubarkan selepas pembentangan belanjawan, 7 Oktober ini?

Jawapan: Pertama, ‘nasib’ Belanjawan 2023 bakal terletak di tangan lebih 21.1 juta pengundi, bukan lagi 222 Ahli Dewan Rakyat, samada akan diteruskan (kerajaan semasa) ataupun digantikan (kerajaan baharu).

Kedua, kebarangkalian majoriti kerajaan baharu yang tipis, situasi parlimen tergantung (hung-parliament), mahupun proses tawar-menawar dalam kalangan Ahli Parlimen akan menjejaskan proses kelulusan belanjawan di Parlimen dalam tempoh yang suntuk dan terhad, yang perlu dimuktamadkan sebelum 31 Disember 2022.

Ketiga, sekiranyanya suatu RUU perbekalan sementara dibawa ke Parlimen, ianya bolehlah dikira sebagai suatu ‘undi kepercayaan’ bagi mengabsahkan kedudukan Perdana Menteri yang baharu. Namun risikonya tetap ada untuk RUU tersebut ditolak sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan, yang diperlu disempurnakan sebelum memasuki tarikh fiskal baharu, iaitu 1 Januari 2023.

Kesimpulan

Adakah parlimen boleh dibubarkan sebelum belanjawan diluluskan? Secara teknikal, jawapannya boleh, namun secara praktikal, jawapannya sukar.

Mengambil kira ketidaktentuan keputusan PRU15 serta kesiapsiagaan menghadapi tengkujuh, pastinya proses meluluskan ‘belanjawan sementara’ pada bulan Disember berdepan cabaran sukar. Tempoh yang berbaki amatlah kritikal untuk menyelesaikan dua permasalahan yang bersifat mendesak dan mustahak, iaitu agenda di dalam Dewan dan musibah rakyat di bawahan.

Semoga Malaysia dan rakyatnya, senantiasa #sejahtera dan terpelihara di bawah rahmat-Nya. – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -