Taufan ganas 234km/j kini rempuh Jepun: 2 maut

Keadaan di Sungai Sendai di Isa, wilayah Kagoshima, Jepun dirakam pada hari ini, 19 Sept 2022 susulan taufan Nanmadol melanda Jepun ketika ini. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

FUKUOKA: Taufan ganas kini sedang melanda wilayah Kyushu di Jepun ketika amaran banjir dikeluarkan pada hari ini Isnin (19 Sept), yang menurunkan hujan lebat dan angin kencang yang memutuskan bekalan elektrik di lebih 350,000 kediaman penduduk, mengganggu aliran trafik, dengan sekurang-kurang dua nyawa terkorban.

- Advertisement -

Selain menyebabkan beribu-ribu oang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing ke tempat selamat, kira-kira 9 juta penduduk telah diarahkan untuk berpindah.

Salah seorang mangsa yang maut adalah seorang lelaki yang ditemui dalam sebuah kereta yang telah ditenggelami air di Wilayah Miyazaki, sementara kira-kira 114 yang lain mengalami kecederaan, lapor NHK.

Selepas melanda di wilayah Kagoshima, Taufan Nanmadol itu kini berada berhampiran bandar Fukuoka pada pagi hari ini (Isnin) dengan membawa angin berkelajuan maksimum 234 kilometer sejam, lapor japantimes.co.jp pula.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Jepun, taufan berkenaan dijangka menghasilkan sebanyak 400 milimeter hujan di bahagian wilayah Kyushu ketika ia menuju ke laluan timur laut yang akan membawanya di sepanjang pantai barat pulau utama Honshu.

“Sehubungan itu, taufan berkenaan juga diramalkan akan menyebabkan hujan lebat ke atas sebahagian besar Honshu pada esok, Selasa (20 Sept), membawa kepada risiko banjir dan tanah runtuh,” kata agensi itu.

Terdahulu, agensi berkenaan telah mengeluarkan amaran banjir di Tokyo dan wilayah Kanagawa yang terletak bersebelahannya, manakala sebahagian besar Kyushu dan wilayah di timur laut turut diletak di bawah amaran banjir. – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -