PRU15: PN Pahang capai kesepakatan agih kerusi

TEMERLOH: Perikatan Nasional (PN) Pahang telah mencapai kesepakatan dan persefahaman yang sangat baik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Pengerusinya, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah, ketiga-tiga parti telah bersetuju dengan jumlah pembahagian kerusi dan tempat di mana akan ditandingi.

Advertisement

“Alhamdulillah, kehadiran dari tiga parti cukup menggalakkan dan kita sudah ada banyak kesepakatan, baik dari segi agihan kerusi, jumlah kerusi ataupun parti mana yang akan bertanding untuk kerusi-kerusi berkenaan.

“Hari ini kita juga telah masyhurkan sesama kita tagline ‘PN Teraju Pahang’ dan dengan perasaan yang tawaduk dan rendah diri kita berasa PN akan memenangi pilihan raya umum nanti,” katanya pada majlis taklimat jentera pilihan raya 14 kawasan Parlimen di sini, kelmarin.

Beliau berharap, PN akan dapat membentuk kerajaan di negeri ini sekali gus dapat mengatasi masalah yang dideritai oleh rakyat.

Ini, katanya dengan penyelesaian yang bakal disampaikan kepada rakyat melalui manifesto PN Pahang yang sedang dalam proses penyediaan. – HARAKAHDAILY 19/9/2022