PAS tolak DAP-PH kerana belajar daripada pengalaman

- Advertisement -

PAS adalah sebuah parti yang ditubuhkan pada tahun 1951 iaitu enam tahun sebelum merdeka. Dan banyak daripada parti-parti yang sezaman dengannya yang sudah tiada lagi. Parti-parti sezaman dengan PAS yang masih ada pada hari ini pun kerana mereka berkuasa dan menjadi kerajaan. 

Sebagai sebuah parti yang berpengalaman sudah pasti PAS sudah pun melalui banyak peristiwa yang mematangkan PAS dalam membuat keputusan. Mata rantai para pemimpinnya yang bertali arus dari dahulu sudah pasti menjadi satu perbendaharaan kebijaksanaan yang menjadi rujukan para pemimpinnya dalam membuat keputusan.

PAS pernah dibariskan bersama-sama dengan DAP sebagai pembangkang semenjak parti cauvinis itu ditubuhkan sekitar tahun 60an dahulu walau pun tiada pakatan rasmi. 

Kemudian PAS bersama dengan DAP dan PKR (dahulu KeADILan) duduk dalam Barisan Alternatif selepas ‘Reformasi 1998’. Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 PAS menjalinkan kerjasama rasmi dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR).

Dengan sebegitu lamanya pengalaman PAS dalam politik dan bersama dengan DAP dan PKR, maka PAS sudah pasti mempunyai asas dan sebab yang kukuh lagi jelas untuk menolak DAP-PH yang disifatkan merugikan orang Melayu dan agama Islam.

Ini jelas melalui tulisan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini bertajuk ‘Mengapa PAS Menolak Pakatan Harapan (PH)’ yang menghuraikan perkara ini dengan begitu tuntas sekali. 

Lihat sahaja sikap mesra DAP-PH terhadap perjuangan komunis sehinggakan bekas-bekas pengganas ini boleh mengadakan ‘reunion’ secara terbuka semasa pemerintahan mereka selama 22 bulan dahulu. 

Selain itu kita jangan lupa betapa DAP-PH begitu lantang mempertahankan agar abu mayat kepada ‘kepala’ pengganas komunis, Chin Peng untuk disemadikan di dalam negara selepas kematiannya. Malah sebelum itu semasa Chin Peng masih hidup mereka juga mendesak kerajaan agar membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia. 

Semua ini melukakan hati umat Islam dan orang Melayu. Kerana itu PAS semenjak dari awal telah mengambil keputusan untuk menolak bersekongkol dengan DAP-PH sebelum berlangsung PRU-14 lagi. PAS melihat bahawa perjuangan DAP-PH secara halus akhirnya akan merugikan umat Islam.

Sudah seharusnya semua orang Islam berhenti daripada mempercayai kata-kata yang diucapkan pemimpin DAP-PH ini yang di luarnya nampak seperti memperjuangkan rakyat tetapi yang tersiratnya bakal meletakkan Islam dalam bahaya. 

USTAZ ABU NAUFAL NORDIN
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -