PAS Subang semarak sambutan Hari Malaysia

- Advertisement -

SUBANG: PAS Kawasan Subang telah meraikan Sambutan Hari Malaysia dengan menganjurkan program memasak dan mengedar bubur cha cha dalam menyemarakkan hubungan kemasyarakatan bersama penduduk setempat.

Program secara kerjasama Jabatan Pilihan Raya PAS (JPrP) Subang dan Dewan Muslimat PAS Subang ini telah berjaya menghasilkan hampir 1,000 bungkus bubur cha cha yang kemudian diagihkan di sekitar Puchong Indah dan beberapa masjid.

Yang Dipertua PAS Subang, Roslan Shahir Dato’ Mohd Shahir turut hadir dan meluangkan kesempatan memberi ucapan sempena Hari Malaysia secara siaran langsung di Facebook PAS Kawasan Subang diiringi Pengarah JPrP Subang, Mohd Suhaimi Ishak.

Bersama bubur, turut diedarkan kepada orang ramai adalah akhbar rasmi PAS, Harakah ke Masjid An-Nur USJ 4, Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara, Masjid As-Salam Puchong Perdana dan perumahan sekitar.

Bersempena majlis ini, Muslimat PAS Subang turut mengadakan jualan harga runtuh dan barangan Preloved di premis PASTI Al-Badar Puchong Indah dan mengadakan kunjungan kepada penduduk bukan-Islam di Pangsapuri Seroja, Puchong Indah dan SS13.

Warga penduduk yang rata-rata sedang bersama keluarga sempena hari cuti tersebut dan berhujung minggu telah menerima kedatangan delegasi PAS secara terbuka dan ceria selari semangat Keluarga Malaysia dan Penyatuan Ummah.

Program melibatkan sama petugas PAS dari DUN Subang Jaya dan DUN Kinrara yang julung kali diadakan ini turut menyuntik semangat gerak kerja para amilin khususnya dalam meneguhkan hubungan dengan masyarakat.

“Sempena Hari Malaysia ini, kita mahu menyampaikan mesej kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya di Parlimen Subang ini agar kita menghargai dan sama-sama mempertahankan kemerdekaan negara,” ujar Roslan. – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -