Letusan gunung berapi lumpur di Tabin bukan pertama kali

Foto daripada Facebook Tabin Wildlife Resort (Borneo).
- Advertisement -

LAHAD DATU: Letusan gunung berapi lumpur di Lipad Mud Volcano, Taman Hidupan Liar Tabin dekat sini semalam yang tular di media sosial bukan pertama kali berlaku sebaliknya pernah terjadi pada 2014.

Pengurus Besar Tabin Wildlife Holidays, Lawrence Chin berkata kejadian semalam disaksikan kira-kira lapan individu termasuk pelancong serta pemandu pelancong.

“Ada pemandu pelancong dan pelancong dalam perjalanan untuk memerhati burung dan melawat kawasan sekitar, tiba-tiba berlaku letusan kuat dan buih-buih keluar, kejadian berlaku kira-kira 10 minit,” katanya ketika dihubungi Bernama.

- Advertisement -

Semalam, beberapa laman Facebook memuat naik video letusan gunung berapi lumpur berkenaan dan mendapat perhatian warganet.

Chin berkata lumpur yang dimuntahkan daripada letusan itu selamat dan tidak panas.

Sementara itu, pemandu pelancong Hamit Suban, 43, menyaksikan kejadian itu pada 10 pagi ketika membawa beberapa pelancong asing memulakan lawatan ke dalam kawasan hutan Tabin.

“Program pertama kami selepas bersarapan adalah melawat kawasan gunung berapi lumpur di dalam kawasan Tabin, saya membawa sekumpulan pelancong dari Amerika Syarikat dengan berjalan kaki sejauh 700 meter ke lokasi berkenaan.

“Ketika kami naik ke menara pemerhati untuk melihat burung dan haiwan lain, tiba-tiba kami terdengar bunyi dentuman kuat sebelum mendapati berlaku letusan lumpur di kawasan itu,” katanya yang bekerja sebagai pemandu pelancong sejak 2005 di Borneo Eco Tours Kinabatangan dan menambah kejadian itu merupakan pertama kali disaksikan.

Selain itu, pemandu pelancong dari Tabin Wildlife Resort, Amrafel Marang, 42, yang sudah 23 tahun bekerja di kawasan itu berkata lumpur terbabit cukup kaya dengan sumber mineral,  sehingga menarik kehadiran haiwan ke tempat berkenaan.

“Letusan ini bukan pertama kali, ia pernah berlaku pada 2014 dan 2019, cuma kali ini ia sempat dirakam berbanding sebelum ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -