Kelantan sejahtera tanpa PH

- Advertisement -

PAS Kelantan  mendukung sepenuhnya ketegasan yang ditunjukkan oleh Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam menolak Pakatan Harapan (PH) yang jelas telah memberikan pengalaman buruk dan mimpi ngeri kepada rakyat selama 22 bulan dalam pemerintahan negara ini.

Kelantan juga tidak terkecuali. Kemelut dalaman PH Kelantan yang kucahnya tidak menampakkan jalan penyelesaian tuntas, pastinya menyokong penolakan ini.

Apa lagi yang boleh rakyat harapkan dari Pakatan Harapan (PH) yang merugikan umat Melayu atau Islam, sehingga pelbagai fahaman liberal masuk ke negara kita dan mencabar akidah Islam.

PAS pastinya telah masak menempuh onak ranjau pengalaman dalam membentuk berbagai kerjasama di antara parti politik termasuklah kerjasama yang bermula semenjak 1998 yang bermula dengan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Kelantan juga tidak terkecuali.

Setelah gema Penyatuan Ummah dibawa oleh pimpinan kita, sudah tentu menjadi tanggungjawab semua ahli untuk menyambut baik usaha ini. Maka PH sebagai sebuah pakatan yang gagal membawa misi seimbang untuk bangsa dan agama adalah bercanggah dengan prinsip perpaduan berteraskan persefahaman antara kaum dan agama di negara ini.

Perpaduan itu pula dilakukan mengikut acuan Allah S.W.T, Tuhan yang Maha Mengetahui berkenaan manusia yang diciptakan-Nya.

Seruan Penyatuan Ummah bukan hanya mengenai survival politik PAS, sebaliknya kelangsungan umat Islam yang menjadi keutamaan.

Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾

“Dan berpegang teguhlah kalian semua kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kalian bercerai-berai; dan kenanglah ni‘mat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu (semasa jahiliah) saling bermusuh-musuhan; lalu Allah menyatukan antara hati kalian (sehingga kalian bersatu padu dengan ni‘mat Islam), maka menjadilah kalian dengan ni‘mat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kalian dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kalian semasa jahiliah), lalu Allah menyelamatkan kalian dari neraka itu (disebabkan ni‘mat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kalian ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kalian mendapat hidayah-Nya.” 

(Ali ‘Imran: 103)

Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), PAS bersungguh-sungguh menerajui Penyatuan Ummah. Membina kesedaran kepada rakyat dan Umat Islam supaya tidak terjun ke dalam jurang yang sama seperti Pilihan Raya Umum tahun 2018 yang lalu.

Melalui Penyatuan Ummah ini juga, PAS Kelantan yakin, rakyat akan sama-sama menggalas peranan dan tanggungjawab untuk membangun negeri serta memartabatkan Islam di bumi Kelantan. 

DATO’ PANGLIMA PERANG DATO’ MOHD NASSURUDDIN DAUD
Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -