Jualan Murah Keluarga Malaysia catat RM3.46 juta

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) 2.0 yang diadakan di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kelantan sehingga semalam mencatat nilai jualan sebanyak RM3.46 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, jumlah rakyat yang mengunjungi PJMKM dalam tempoh sama seramai 73,266 orang.

- Advertisement -

Katanya semalam sebanyak 24 Dun mengadakan program itu serentak dan selebihnya akan mengadakan minggu berikutnya sebagaimana jadual pelaksanaan.

“Sehingga semalam semua 45 Dun di Kelantan telah menganjurkan program tersebut antara satu sehingga tiga kali.

“PJMKM dianjurkan bagi membantu meringankan beban rakyat pasca pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui pada pelancaran PJMKM peringkat negeri di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tawang Wakaf Zin di sini semalam.

Dr Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diberi amanah untuk mengemudi PJMKM 2.0.

Katanya ia meliputi 45 Dun dengan peruntukan sebanyak RM5,625,000 bagi tempoh lima bulan bermula Ogos lalu dengan dana sebanyak RM125,000 setiap Dun.

Kata beliau juga pemilihan pengusaha pasar raya berpandukan kemampuannya untuk menyediakan barangan keperluan harian serta menjadi pilihan utama penduduk.

“Kerajaan melalui MAFI dan LKIM berusaha membantu rakyat yang terjejas dan meringankan kos hidup ekoran kenaikan harga barangan harian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -