HFMD: Johor catat 9,048 kes setakat Jumaat

Foto hiasan.
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Sebanyak 9,048 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Johor sejak 1 Jan tahun ini hingga Jumaat lepas, sekali gus menjadikan negeri itu keenam tertinggi kumulatif kes berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata kebanyakan kes berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah enam tahun iaitu 7,797 kes, diikuti tujuh hingga 12 tahun (1,087) dan bakinya lebih daripada 13 tahun.

Beliau berkata daerah Johor Bahru mencatat bilangan kes tertinggi iaitu 3,143 kes, Kluang (1,151), Tangkak (924), Batu Pahat (919), Segamat (810 kes), Kota Tinggi (735), Pontian (592), Muar (343), Kulai (304) dan Mersing (134).

- Advertisement -

“Setakat ini, terdapat dua wabak aktif HFMD dilaporkan di negeri ini iaitu di daerah Kulai dan Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ling berkata sebanyak 3,578 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan di negeri itu hingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-37/2022 dengan 73.7 peratus kluster melibatkan institusi pendidikan.

Beliau berkata pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor terhadap jangkitan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) mendapati situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan.

Kumulatif kes demam denggi pada ME ke-37/2022 pula adalah sebanyak 2,156 kes dan terdapat satu kematian akibat wabak berkenaan melibatkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun di daerah Muar.

“Daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi dengan 76 kes diikuti Kulai (14), Kota Tinggi, Muar dan Pontian masing-masing dua kes, manakala Tangkak dan Segamat pula masing-masing dengan satu kes. Bagaimanapun, tiada kes dilaporkan di daerah Mersing, Kluang dan Batu Pahat,” tambahnya. – BERNAMA

- Advertisement -