Dominasi DAP ancaman perpaduan kaum dan toleransi agama

- Advertisement -

PENGALAMAN suasana politik yang tidak stabil sangat meresahkan PAS Perak. Ia akan merencatkan urus tadbir yang lancar kerana perebutan kuasa dan gangguan politik.

Namun tempoh penguasaan Pakatan Harapan di Malaysia lebih menggerunkan walaupun dalam tempoh singkat. Ia dirasai dan diakui oleh rakyat melalui sokongan perubahan kepimpinan politik yang berlaku termasuk di Perak.

Sebagai sebuah negeri yang pernah dikuasai Pakatan Harapan, PAS Perak amat menyedari dan sangat mengenali mereka. Dalam tempoh penguasaan mereka, berbagai usaha yang dilakukan dilihat boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan kepentingan bangsa Melayu dan Islam. 

Dominasi DAP sebagai parti utama Pakatan Harapan akan menjadi ancaman kepada perpaduan kaum dan toleransi agama di Perak. Ini dibuktikan dalam tempoh singkat selepas PRU14 yang lalu.

PAS Perak juga menyedari realiti politik Perak yang tidak memungkinkan kerajaan sendiri dibentuk selepas PRU15. Gabungan parti politik tidak dapat dielakkan lagi untuk membentuk kerajaan di Perak. 

Justeru, PAS Perak menegaskan sokongan kepada prinsip parti yang disebut oleh Tan Sri Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang iaitu menolak rasisme, liberalisme, rasuah serta sekularisme politik.

Menyedari mudarat besar Pakatan Harapan kepada rakyat dan negeri, PAS Perak bersedia menjalinkan kerjasama politik di peringkat negeri bagi mengekang PH dalam masa sama membersihkan negara dari budaya rasuah politik dan penyelewengan kuasa. 

Bekerjasama dengan Umno jika mahu berkongsi aspirasi membersihkan rasuah adalah pilihan yang lebih rela dipilih PAS Perak.

PAS Perak juga menegaskan menolak sebarang hubungan dengan DAP sama ada atas nama khemah besar atau jajaran baru sebelum atau selepas PRU15.

Kerjasama dan gandingan politik di dalam Perikatan Nasional di Perak berjalan dengan baik. Dalam masa yang sama, mana mana parti atau individu yang bersedia bersama aspirasi PAS membina negeri berpaksikan teras keadilan Islam dan Prihatin rakyat seperti penegasan Presiden adalah dialu alukan. 

“Malaysia Sejahtera”

YB RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -